MALAYSIA
Nahas FRU: Tujuh waris mangsa terima pampasan takaful

Pampasan kematian di bawah Skim Takaful Berkelompok diberikan mengikut nilai caruman anggota terbabit, antara RM37,500 dan RM212,500. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Seramai tujuh waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terkorban dalam nahas di Jalan Chikus-Sungai Lampam, Teluk Intan, Perak, bulan lalu menerima pampasan takaful daripada Koperasi Polis Diraja Malaysia (KPDRM) Berhad.
Ringkasan AI
- Tujuh waris anggota FRU yang terkorban dalam nahas menerima pampasan takaful, disampaikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam majlis rasmi KPDRM Berhad.
- Tragedi 13 Mei melibatkan pertembungan lori FRU dengan lori tipper, menyebabkan sembilan anggota FRU maut dan sembilan lagi cedera, dengan siasatan mendapati lori tipper membawa muatan berlebihan tanpa kebenaran sah.
- Kementerian Pengangkutan mendedahkan lori tersebut tidak dilengkapi GPS, seperti diwajibkan oleh APAD, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai pematuhan peraturan keselamatan.
Sumbangan tersebut diberikan kepada waris mendiang Sarjan Perumal Sugunanathan berjumlah RM212,500; Allahyarham Konstabel Akmal Wafi Annuar (RM72,500); Allahyarham Sarjan Mohd Roslan Abd Rahim; Allahyarham Koperal Mohamad Hilmi Mohd Azlan; Allahyarham Koperal Muhamad Akmal Muhamad; mendiang Koperal Nurit Ak Pandak; serta Allahyarham Lans Koperal Damarrulan Abdul Latif, yang masing-masing menerima RM37,500.
Penyerahan pampasan takaful itu turut dihadiri Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Dalam nahas pada 13 Mei lepas, sembilan anggota FRU terkorban manakala sembilan lagi cedera selepas lori FRU yang dinaiki mereka bertembung dengan lori tipper berkenaan yang dipercayai memasuki laluan bertentangan.
Semalam, Kementerian Pengangkutan (MOT) mendedahkan lori muatan batu kerikil berkenaan tidak mempunyai kebenaran sah untuk membawa muatan berkenaan.
Laporan awal siasatan kemalangan mendapati lori jenis tipper itu sepatutnya hanya dibenarkan membawa muatan arang batu, namun ketika kejadian ia membawa batu kerikil dengan muatan mencecah 40,960 kilogram - melebihi 70 peratus daripada had muatan yang dibenarkan.
Kenderaan itu juga didapati tidak dilengkapi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS) seperti diwajibkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami