Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter: Agong, Raja Permaisuri zahir takziah kepada keluarga mangsa

YANG DI-PERTUAN AGONG DAN RAJA PERMAISURI AGONG ZAHIR UCAPAN TAKZIAH KEPADA KELUARGA MANGSA TRAGEDI HELIKOPTER DI SARAWAK -- FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Seri Paduka Baginda berdua mendoakan agar seluruh keluarga dan waris mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang. - Foto FB Sultan Ibrahim Sultan Iskandar
Advertisement

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan takziah kepada keluarga juruterbang serta petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang maut dalam nahas helikopter di Sarawak, semalam.

Seri Paduka Baginda berdua turut mendoakan agar seluruh keluarga dan waris mangsa diberikan kekuatan serta ketabahan dalam menghadapi kehilangan insan tersayang.

"Al-Fatihah dan salam takziah saya ucapkan kepada seluruh ahli keluarga mangsa. Jasa dan pengorbanan mereka akan sentiasa dikenang," titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.

Semalam, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) memaklumkan sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.

CAAM menerima maklumat tentang kejadian melibatkan helikopter itu daripada Perkhidmatan Maklumat Penerbangan pada 3.58 petang.

Helikopter perkhidmatan doktor udara (FDS) yang berlepas dari Miri itu membawa lima mangsa, terdiri daripada juruterbang Kapten Zainol Afiq Bee Sham, pegawai perubatan Dr Ainul Baraah Kamaruddin, seorang penolong pegawai perubatan (PPP) dan dua jururawat, yang kesemuanya sedang menjalankan tugas rasmi.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement