KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga juruterbang, Tsz Kin Richard Chan, yang maut dalam nahas helikopter di Bidor, Perak.

Dalam catatan di Facebook rasminya hari ini, Ismail Sabri berharap keluarga juruterbang itu terus tabah dan cekal dalam menghadapi musibah.

Perdana Menteri turut menyampaikan penghargaan kepada pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang terdiri daripada Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan serta Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) terhadap tindakan pantas mereka.


Juruterbang berumur 58 tahun warga Hong Kong itu ditemukan meninggal dunia di kawasan nahas oleh pasukan mencari dan menyelamat pagi ini selepas Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) melaporkan kehilangan sebuah helikopter, Ahad.

Menara Kawalan Trafik Udara Kuala Lumpur terputus hubungan dengan helikopter itu pada pada pukul 12.16 tengah hari, sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada 11.37 pagi.

Lokasi terakhirnya dikesan sekitar Hutan Simpan Chikus berhampiran Bidor. - BERNAMA