KUALA LUMPUR: Nahas dua helikopter Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terhempas dan mengorbankan 10 nyawa di Pangkalan TLDM Lumut semalam, turut menjadi perhatian masyarakat antarabangsa yang mengikuti perkembangan kejadian itu dari seluruh dunia.

Kebanyakan portal media antarabangsa melaporkan kejadian itu dengan terperinci, malah video insiden berkenaan yang disifatkan amat jarang berlaku serta mengejutkan, dikongsi di pelbagai platform media sosial di pelbagai negara.

Antara agensi berita serta portal yang melaporkan kejadian itu adalah Reuters, Al-Jazeera, AP, AFP, CNN, South China Morning Post, BBC, NDTV World dan The Sun UK.

[LAPOR LANGSUNG] Negara berdukacita, nahas udara TLDM Lumut terburuk libatkan helikopter

Perkongsian berita serta video kejadian itu yang sempat dirakam beberapa saksi menerima pelbagai komen yang menyatakan perasaan terkejut dengan angka korban anggota tentera yang ramai, selain ingin tahu punca kemalangan itu berlaku.

Ramai netizen terutama peminat pasukan ketenteraan juga menzahirkan perasaan simpati dengan kejadian itu dan berharap kejadian sama tidak berulang di mana-mana negara sekalipun.

Malaysia semalam dikejutkan dengan nahas udara yang meragut nyawa 10 pegawai serta anggota TLDM apabila dua helikopter terhempas di Pangkalan TLDM Lumut.

Tragedi menyayat hati itu merupakan nahas terburuk membabitkan helikopter terhempas di negara ini sejak sembilan tahun lepas dan yang kelapan berlaku dalam tempoh sama.

Nahas helikopter dengan angka korban tertinggi sebelum ini berlaku pada 5 Mei 2016 apabila sebuah Helikopter Eurocopter AS350 terhempas di Batang Lupar berhampiran Sebuyau, Sarawak yang mengorbankan enam individu termasuk Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi ketika itu Tan Sri Noriah Kasnon dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad.

Dalam tragedi pada 9.32 pagi semalam, TLDM mengesahkan 10 anggotanya terkorban melibatkan tujuh kru Helikopter Operasi Maritim (HOM-AW139) dan tiga kru Fennec TLDM.

Helikopter HOM-AW139 terhempas di balapan Stadium TLDM Lumut manakala pesawat Fennec terhempas di kolam renang Kompleks Sukan TLDM Lumut.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata kedua-dua helikopter sedang menjalani raptai buat kali ketiga sempena sambutan Hari Terbuka Armada TLDM yang dijangka berlangsung Sabtu ini.

Beliau berkata anggota TLDM terbabit berpangkalan di Lumut, Perak serta Kota Kinabalu, Sabah dan TLDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan rasa sedih dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa tragedi itu dan menitahkan supaya Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menjalankan siasatan terperinci bagi mendapatkan maklumat sepenuhnya berhubung kejadian itu.

TLDM memaklumkan mereka yang terkorban ialah Pegawai Memerintah Skuadron 502, Komander Muhamad Amir Mohamad, Leftenan T. Sivasutan (juruterbang Skuadron 502) serta Pegawai Waran II Mohd Shahrizan Mohd Termizi (Kuartermaster Udara Skuadron 502).

Mangsa lain Pegawai Memerintah Skuadron 503 Komander Muhammad Firdaus Ramli, Leftenan Komander Wan Rezaudeen Kamal Zainal Abidin, Pegawai Taktikal Udara Skuadron 503 Leftenan Komander Mohammad Amirulfaris Mohd Marzukhi dan Kuartermaster Udara Skuadron 503 Pegawai Waran II Muhammad Faisol Tamadun.

Tiga anggota wanita yang maut pula ialah Laskar Kanan Joanna Felicia anak Rohna dari Markas Udara TLDM, Pegawai Waran II Norfarahimi Saedy (Depot Bekalan Armada Barat) dan Bintara Muda Nor Rahiza Anuar (Depot Bekalan Armada Barat).