HULU KELANG:Polis telah mengambil keterangan bekas Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad, Datuk Ahmad Jauhari Yahya berhubung nahas helikopter yang mengorbankan dua nyawa di Taman Melawati pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha, pihaknya turut merekodkan keterangan beberapa saksi lain.

Katanya, lebih ramai saksi diminta tampil membantu siasatan.

“Kita dah ambil keterangan dia (Ahmad Jauhari) dan saksi berkaitan kejadian. Saksi-saksi awam (lain) kita tengah kumpul lagi.

“Mohon saksi-saksi yang merakamkan kejadian untuk tampil ke Balai Polis Taman Melawati atau Ibu Pejabat Polis Daerah Ampang Jaya untuk membantu siasatan,” katanya dalam sidang media di Taman Melawati pada Ahad.

BACA: LAPOR LANGSUNG: Helikopter terhempas di Taman Melawati

BACA: Nahas helikopter: Beberapa dentuman kuat, kejutkan penduduk Taman Melawati - Saksi

BACA: Nahas helikopter Taman Melawati: Polis sahkan identiti dua mangsa maut

Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, dua helikopter yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang Jaya ke Genting Sempah disahkan bertembung di udara sebelum salah sebuah terhempas di Taman Melawati, di sini.

Dua mangsa disahkan maut iaitu Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, dan Mohd Sabri Baharom, 56.

Sebuah lagi helikopter dinaiki Ahmad Jauhari dan Tan Chai Elan sempat membuat pendaratan cemas dan mereka dilaporkan tidak mengalami kecederaan.