KUALA LUMPUR: "Dia orang baik, dia banyak bantu kita."
Demikian kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan karakter Kapten Zainol Afiq, salah seorang daripada lima mangsa yang terlibat dalam nahas helikopter di Long Lellang, Ulu Baram di Sarawak pada petang semalam.
Perkara itu dizahirkan oleh Anwar ketika menghubungi bapa Allahyarham, Bee Sham Ahmad hari ini bagi menyampaikan salam takziah kepada seluruh keluarga mangsa.
"Very nice, guy. Salam (semasa) nak naik.... salam nak turun. (Kita) doa bersama. Insya-Allah, saya nanti akan minta semua jentera yang ada untuk membantu apa sahaja yang boleh, bagi memudahkan urusan.
"Tolong sampaikan salam takziah dan doakan, Insya-Allah, semoga rohnya dicucuri rahmat. Dia orang yang baik dan banyak membantu kita. Kita kenang jasa dan khidmat beliau.
"Apa yang patut kita bantu, tolong beritahu staf saya. Insya-Allah, saya akan permudahkan. Saya juga akan hubungi yang lain-lain, doktor dan jururawat, dan kita akan bantu semua," kata Perdana Menteri dalam rakaman video yang dimuat naik di media sosialnya pada Rabu.
Berkongsi lanjut, Anwar berkata beliau amat tersentuh dengan pemergian Allahyarham, yang pernah menerbangkannya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
"Tatkala menghimbau kenangan sewaktu Allahyarham bertanggungjawab menerbangkan saya ketika kempen PRU15 lalu, menjadikan saya sangat tersentuh dan mengesankan sanubari yang terdalam," tulis Perdana Menteri lagi.
Anwar menambah, kehilangan itu amat berat untuk ditanggung, khususnya oleh keluarga serta anak-anak Allahyarham yang masih kecil.
Dalam pada itu, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa kerajaan akan memastikan segala bantuan dan keperluan keluarga Allahyarham serta keluarga mangsa lain yang terlibat dalam nahas itu diberi pembelaan sewajarnya.
"Malaysia meratapi pengorbanan dan limpah bakti mereka kepada negara," kata Anwar.
Sebuah helikopter BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berhampiran Lapangan Terbang Landasan Pendek (STOLport) Long Lellang, Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching, Sarawak.
Selain Kapten Zainol Afriq; empat lagi mangsa ialah pegawai perubatan, Dr Ainul Baroah Kamaruddin; penolong pegawai perubatan, Alexson Adit; serta dua jururawat iaitu Debra Moset serta Jessie Paya.