Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter Ulu Baram: Jemaah Menteri zahir takziah kepada keluarga lima mangsa - Fahmi

PUTRAJAYA, 9 Sept - Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Komunikasi merangkap Jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Seri Fahmi Fadzil bercakap pada sidang media mingguan Kabinet di Menara Komunikasi hari ini. - Foto Bernama
Advertisement

PUTRAJAYA: Jemaah Menteri menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga lima mangsa yang terlibat nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Lapangan Terbang Landasan Pendek Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak, petang Selasa.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, hasil siasatan berhubung punca nahas itu akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri selepas proses berkenaan selesai.

“Buat masa ini kita belum tahu ialah bagaimana kejadian itu berlaku. Bagi tujuan pengesahan dan proses siasatan, kita serahkan perkara itu kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

“Seperti dimaklumkan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, lima mangsa tersebut telah dikenal pasti dan waris mereka telah dimaklumkan.

“Saya akan minta untuk maklumat ini... mengenai apa bantuan tambahan, dipanjangkan kepada Menteri Kesihatan untuk beliau jawab. Perkara itu tidak dibentangkan dalam Jemaah Menteri tadi,” katanya dalam sidang media mingguan di Kementerian Komunikasi, di sini, pada Rabu.

Jelas Fahmi, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Jemaah Menteri turut dimaklumkan mengenai siasatan nahas berkenaan yang sedang dijalankan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).

Pada Selasa, CAAM memaklumkan, sebuah helikopter jenis BO-105 yang membawa lima individu termasuk juruterbang terhempas berdekatan Long Lellang Short Take-Off and Landing Airport (STOLport), Ulu Baram, kira-kira 929 kilometer dari Kuching.

Must Watch Video

Advertisement