Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter Ulu Baram: Jenazah Dr Ainul tiba di kampung halaman

https://www.sinarharian.com.my/article/796137/berita/semasa/nahas-helikopter-jenazah-dr-ainul-tiba-di-kampung-halaman
Jenazah Allahyarham Dr Ainul diusung masuk ke masjid di Pengkalan Chepa. -Foto Sinar Harian
Advertisement

KOTA BHARU: Jenazah pegawai perubatan, Dr Ainul Baraah Kamarudin yang terkorban dalam nahas helikopter di Long Lellang, Miri, Sarawak, tiba di kampung halamannya di Baung, Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Jenazah dibawa ke Masjid Al Karomah, Mukim Baung Besar untuk disolatkan sekali lagi selepas Zuhur.

Van yang membawa jenazah Allahyarham tiba kira-kira jam 11.50 pagi dengan diiringi kenderaan polis sebelum disambut saudara-mara, kenalan dan penduduk setempat.

Turut mengiringi jenazah ialah suami Allahyarham, Muhammad Faiz Abdul Malik dan bapa, Kamarudin Salleh, 69, bersama ahli keluarga.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad dan isteri Menteri Besar Kelantan, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob serta beberapa pemimpin setempat.

Jenazah disolatkan sekali lagi sebelum dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Sri Kedeper untuk urusan pengebumian.

Terdahulu, jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 30, dan Dr Ainul Baraah disolatkan selepas solat Subuh di Masjid Jamal Addin, Taman Jelita, Miri, selepas Subuh pada pagi Ahad.

Solat jenazah itu diimamkan Penolong Imam Bahagian Miri, Ustaz Mohamad Ardy Putera Zainudin dan disertai kira-kira 300 jemaah.

Jenazah Dr Ainul, 33, kemudian diterbangkan menggunakan pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada 8.30 pagi untuk dibawa pulang ke Kelantan.

Jenazah Kapten Zainol pula dijadual diterbangkan menerusi perkhidmatan MASkargo dengan penerbangan Malaysia Airlines pada 12.10 tengah hari.

Tiga lagi mangsa ialah jururawat Debra Moset, 40, dan Jessie Paya Jok,44, serta penolong pegawai perubatan Alexson Adit Henry.

Sebelum ini, helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang membawa mereka termasuk juruterbang dilaporkan terhempas dan terbakar pada Selasa. -Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement