Skip to main content

Malaysia

Nahas helikopter Ulu Baram: Jenazah Kapten Zainol Afiq dibawa pulang ke Seremban esok

Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq dijangka akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian pada Ahad.
Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq dijangka akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian pada Ahad.
Advertisement

SEREMBAN: Jenazah Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham, 31, dijangka akan dibawa pulang ke Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian pada Ahad.

Bapanya, Bee Sham Ahmad, 59, berkata, buat masa ini keluarga sedang menunggu keputusan asid deoksitibonukleik (DNA).

"Hari ini dimaklumkan yang keputusan DNA akan diperolehi, tapi tak tahulah pukul berapa.

"Kalau semuanya selesai, jenazah akan dibawa pulang esok dan segala persiapan telah pun dibuat," katanya dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Menurutnya, sebaik tiba di Seremban nanti, jenazah akan terus dibawa ke Masjid Bandar Baru Senawang dan kemudiannya akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Forest Height, Senawang.

Beliau turut memaklumkan yang perkembangan lanjut akan diberitahu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Bee Sham dan isteri bersama besannya berada di Sarawak sejak Rabu lalu bagi menunggu proses selanjutnya selepas DNAnya diambil sebaik tiba di sana.

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, keluarga reda dengan kejadian berlaku dan memohon doa orang ramai supaya segala urusan membawa pulang jenazah anaknya dipermudahkan.

Media pada Sabtu melaporkan,kesemua jasad mangsa nahas pesawat helikopter BO 105S yang terhempas di Lapangan Terbang Pendek Long Lellang dijangka dituntut keluarga hari ini.

Pesururuhjaya Polis Sarawak, Datuk Mohamad Zainal Abdullah mengesahkan keputusan DNA kesemua mangsa telah pun diperolehi. - Sinar Harian

Must Watch Video

Advertisement