KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan kesemua lima individu yang berada dalam helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas di Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak semalam, terkorban dalam nahas berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohamad Zainal Abdullah berkata kesemua jasad mangsa telah berjaya dibawa keluar dari lokasi kejadian dan diterbangkan dari Long Lellang ke Miri untuk tujuan bedah siasat serta proses berkaitan.
"Alhamdulillah, kita telah selesai menjalankan siasatan di tempat kejadian untuk mengambil semua jasad mangsa seramai lima orang tersebut.
"Baru sebentar tadi, mereka telah diterbangkan dari Long Lellang menuju ke sini dan akan dibawa ke Hospital Miri untuk tujuan bedah siasat dan sebagainya," katanya dalam sidang media berhubung nahas helicopter di Miri, Sarawak.
Menurutnya, mangsa yang terkorban ialah juruterbang Layang-Layang Aerospace Kapten Zainol Afiq Bisham, 30; Pegawai Perubatan KKM, Dr Ainul Baraah Kamarudin, 33; Penolong Pegawai Perubatan Alexson Adit anak Henry, 31; serta dua jururawat KKM, Deborah anak Moset, 40, dan Jessie Paya Jo, 44.
Mohamad Zainal menambah, pihaknya turut mengambil sampel DNA daripada ahli keluarga mangsa bagi tujuan pengesahan identiti.
Bagaimanapun, beliau berkata kesemua mangsa dikenal pasti berdasarkan barangan peribadi, cebisan pakaian serta kedudukan tempat duduk dalam helikopter, meskipun tiada satu pun jasad ditemukan dalam keadaan sempurna.
"Kesemua mereka dalam keadaan rentung kerana apabila helikopter terhempas, ia terus terbakar.
"Penduduk kampung yang berada di sana turut membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api yang ada di lapangan terbang," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) membabitkan dua helikopter Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan sebuah helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan keseluruhan 67 anggota daripada pelbagai agensi digerakkan.
Katanya jumlah itu terdiri daripada 19 anggota PDRM, 15 anggota JBPM, dua anggota Kementerian Kesihatan (KKM), dua anggota Malaysia Airports, seorang wakil Layang-Layang Aerospace serta anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan 15 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 12.