IPOH: Penonton yang meninggal dunia selepas dirempuh kereta terbabas dalam satu acara permotoran di Litar Dato Sagor, Kampung Gajah, di sini, semalam merupakan seorang pengusaha bengkel kenderaan di Kamunting, Taiping.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, bedah siasat mayat lelaki berusia 32 tahun itu di Hospital Changkat Melintang mendapati punca kematian adalah disebabkan kecederaan di kepala dan pendarahan di bahagian paru-paru.

“Pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Mangsa meninggal dunia selepas dirempuh dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta lumba pada jam 3.30 petang semasa perlumbaan ‘CCT Battle of Champion’ di Litar Dato Sagor.

BACA: Penonton maut dirempuh kereta di Litar Dato Sagor

“Siasatan mendapati kemalangan berlaku apabila dua kereta berkenaan telah bergesel semasa menghampiri garisan penamat.

“Sebuah daripadanya ke kanan laluan litar lalu memasuki bahagian berumput yang terdapat beberapa penonton sedang berdiri menyaksikan perlumbaan.

“Kenderaan yang terbabas telah terlanggar salah seorang penonton yang berada di atas kawasan berumput dalam jarak 10 meter dari laluan litar,” ujarnya.

Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dan telah diberikan rawatan segera oleh sepasukan pegawai perubatan yang telah bersedia di kawasan litar.

Menurutnya, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Changkat Melintang menaiki ambulans tetapi disahkan meninggal dunia semasa mendapat rawatan, kira-kira jam 5 petang.

Litar Dato Sagor sepanjang 1.3 kilometer diuruskan sebuah syarikat pengendali yang menyewa dari Majlis Daerah Perak Tengah dan pihak penganjur pertandingan telah menyewa dari syarikat berkenaan.