KLANG: Kerajaan Negeri Pahang menyerahkan sepenuhnya kepada waris mangsa untuk memutuskan sama ada untuk mengebumikan jenazah mangsa nahas pesawat jenis Beechcraft Premier 1 yang terhempas di Elmina di Shah Alam, Khamis lalu dalam satu  liang lahad atau sebaliknya.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin berkata, ia adalah hak ahli keluarga masing-masing untuk memutuskan perkara itu.

“Ada antara ahli keluarga yang tinggal di Bentong ada yang tinggal di Janda Baik dan sebagainya.

“Jadi mungkin mereka nak kebumikan mengikut kesesuaian dan jarak kampung masing-masing,” katanya ketika ditemui pemberita di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), di sini hari ini.

Sebelum ini, pihak penguat kuasa memaklumkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan menguruskan setiap jenazah mangsa nahas pesawat itu.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail juga sebelum ini dilaporkan memberitahu, Kerajaan Negeri Pahang akan menanggung kesemua kos penghantaran jenazah ke kampung halaman masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Negeri Pahang, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun  adalah antara 10 mangsa yang terkorban dalam nahas pada Khamis lalu.

Setakat ini hanya jenazah penunggang p-hailing Muhamad Hafiz Muhamad Saleh sudah dituntut ahli keluarga kira-kira pukul 9.30 pagi.

Jenazah kemudian dikafan dan  disembahyang di Masjid Jamek Ar Rahimiah,Klang di sini, sebelum dibawa ke kampung halaman di Sungai Petani, Kedah.