Skip to main content

Malaysia

Naib Canselor MUCM bebas tuduhan perdaya rakan sekerja

Naib Canselor Perdaya
Pada 21 Jan lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu lima tahun lepas. - Gambar fail

MELAKA: Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini membebaskan Naib Canselor Kolej Universiti Manipal Malaysia (MUCM) Profesor Dr G. Jayakumar daripada pertuduhan memperdaya rakan sekerja untuk melantik seorang pensyarah dengan bayaran RM20,000 bagi membangunkan program akademik.

Hakim Elesabet Paya Wan membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menarik balik pertuduhan terhadap Jayakumar, 64.

Advertisement

Pada 21 Jan lepas, tertuduh mengaku tidak bersalah melakukan perbuatan itu lima tahun lepas.

Jayakumar, yang ketika kejadian pensyarah kanan, didakwa memperdaya Naib Canselor MUCM untuk melantik pensyarah Universiti Perdana Kuala Lumpur sebagai Ketua Perunding Program Kurikulum dan Pembangunan Akademik bagi membangunkan modul Program Terapi Pekerjaan sedangkan beliau mengetahui pelantikan itu bercanggah dengan kontrak perkhidmatan dan peraturan universiti terbabit.

Beliau didakwa melakukan perbuatan itu di kolej universiti berkenaan di sini pada 3 Mei 2021 mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman maksimum penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Sharina Farhana Nor Sa’ari manakala Jayakumar diwakili peguam Harvinderjit Singh, Farhan Read dan Amirtha MCPirapu.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video