KUALA LUMPUR:Selepas beberapa pemimpin politik disahkan positif COVID-19, kini giliran Naib Presiden Pas, Idris Ahmad pula menerima jangkitan berkenaan.

Ahli Dewan Negara itu disahkan positif selepas dipercayai menjadi kontak rapat ketika berada di Perlis.

Perkara itu disahkan sumber rapat Pas Pusat ketika dihubungi Astro AWANI, di sini, pada Sabtu.

"Saya tidak ada kuasa untuk beri pengesahan tentang ini, tapi memang benar beliau (Idris) disahkan positif COVID-19 dan kini dalam rawatan KKM," kata pemimpin PAS tersebut.

Sebelum itu, satu hantaran di Facebook tular memaklumkan bekas Ahli Parlimen Bukit Gantang itu disahkan positif selepas menerima panggilan daripada Kementerian Kesihatan (KKM).

"Minta maaf banyak-banyak. KKM baru call (hubungi) lepas Maghrib tadi saya positif COVID-19.

"Punca saya (adalah) kontak dengan Syakur Pasir Putih, Kelantan yang hadir ke Program Liga Pas Perlis pada 7 Januari (Khamis malam Jumaat)," katanya.

Dalam hantaran sama, mesej itu turut meninggalkan pesanan kepada sesiapa yang mempunyai kontak dengan Idris di Sungai Petani, Kedah pada Jumaat lalu dan menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat di Kuala Lumpur pada 9 Januari dinasihat agar berhati-hati.

"Mohon doa daripada sahabat-sahabat semua (dan) esok KKM akan bawa ke Hospital Parti Buntar. Alhamdulillah setakat hari ini sihat," tulis mesej itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Kesihatan Pas Pusat, Dr Mohd Mazri Yahya ketika dihubungi memberitahu, tindakan parti adalah selari dengan saranan KKM untuk meminta semua pihak yang mempunyai kontak rapat perlu menjalani ujian saringan ataupun kuarantin selama 10 hari di rumah jika tiada gejala.

"Kita juga akan bekerjasama dengan KKM untuk membuat pengesanan kontak rapat bagi kes ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulamak Pas, Datuk Dr Nik Mohd Zawawi Salleh berkata, semua pemimpin Pas tidak mempunyai kontak rapat dengan Idris.

"Memang sebelum ini kita adakan mesyuarat, tetapi ketika itu beliau (Idris) masih tidak dijangkiti wabak itu.

"Beliau disahkan positif selepas pergi ke Perlis dan merupakan kontak rapat kepada seorang sahabat di sana yang bukannya pemimpin parti," jelasnya.