KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berpotensi dibenarkan keluar dari Penjara Kajang pada hari sama sekiranya permohonan penangguhan hukuman kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) diluluskan dan denda RM50 juta dapat dijelaskan, kata peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.
Bagaimanapun, Muhammad Shafee berkata perkara itu masih tertakluk kepada proses pelaksanaan serta persoalan undang-undang yang mungkin timbul.
Menurutnya, sekiranya kedua-dua syarat berkenaan dipenuhi, terdapat kemungkinan Najib dapat meneruskan baki hukuman secara tahanan rumah.
"Kalau penangguhan itu diberikan dan denda RM50 juta dibayar, saya fikir secara prinsipnya beliau boleh keluar pada hari yang sama, tetapi ia tertakluk kepada proses pelaksanaan dan isu undang-undang yang mungkin timbul," katanya pada sidang media di pekarangan Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, di sini, pada Jumaat.
Ketika ditanya sama ada kediaman sudah dimuktamadkan sebagai lokasi tahanan rumah, Muhammad Shafee berkata kediaman Najib di Langgak Duta setakat ini dikenal pasti sebagai lokasi bagi pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.
Katanya, kediaman itu lebih mudah dikawal kerana mempunyai pintu pagar yang dikawal serta hanya mempunyai satu laluan keluar.
"No. 11 (Langgak Duta) itu mempunyai pintu pagar yang dikawal dan hanya ada satu laluan keluar, jadi dari segi kawalan, ia lebih mudah," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengesahkan sama ada Najib akan ditempatkan di kediaman berkenaan kerana keputusan akhir pelaksanaan tahanan rumah masih bergantung kepada arahan dan dokumen rasmi berkaitan.
Dalam perkembangan sama, Muhammad Shafee berkata pihaknya sehingga kini masih belum menerima surat rasmi berkaitan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman secara tahanan rumah.