KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memohon untuk mendapatkan pengampunan diraja, namun, perlu menjalani hukuman penjara dalam tempoh tertentu terlebih dahulu, kata pengamal undang-undang.

Menurut peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla, proses pengampunan akan mengambil masa kerana ia tertakluk kepada budi bicara Yang di-Pertuan Agong.

"Semua individu yang didapati bersalah dan dijatuhi hukuman berhak memohon pengampunan diraja di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, mereka perlu melalui hukuman penjara terlebih dahulu dalam tempoh tertentu, baru Lembaga Pengampunan dalam mesyuarat berkala akan meminta laporan daripada pihak penjara untuk disediakan dan dinasihatkan kepada Seri Paduka termasuk laporan bertulis daripada Peguam Negara sebelum pengampunan diberikan," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Mohamed Haniff Khatri berkata, Najib perlu memfailkan permohonan itu dalam tempoh 14 hari bermula dari tarikh keputusan rayuan akhirnya, bagi memastikan kerusi Parlimen Pekan yang disandangnya tidak digugurkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, di bawah Perkara 48 Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) secara automatiknya akan hilang kelayakan apabila mereka dijatuhi hukuman penjara 12 bulan atau lebih atau didenda tidak kurang daripada RM2,000.

"Sekiranya Najib masih berminat untuk memegang kerusi Parlimen Pekan, menjadi tanggungjawab beliau untuk memfailkan atau memohon pengampunan dalam tempoh 14 hari," kata Mohamed Haniff Khatri.

Bagaimanapun, peguam itu berkata, Najib turut berdepan beberapa kes lain di mahkamah antaranya 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pindaan laporan audit 1MDB dan kes berkaitan International Petroleum Investment Company (IPIC), yang menyukarkan beliau untuk mendapatkan pengampunan.

"Adalah tidak munasabah dari segi praktikalnya untuk mendapat pengampunan bagi kes SRC, sedangkan beliau masih mempunyai kes lain di mahkamah dan ada yang masih di peringkat perbicaraan," katanya.

Berkongsi pendapat sama ialah peguam Fahmi Abd Moin, yang turut memaklumkan bekas perdana menteri itu boleh mendapatkan pengampunan melalui Lembaga Pengampunan.

"Permohonan untuk mendapatkan pengampunan boleh difailkan oleh Najib menerusi ahli keluarga, peguamnya atau wakil beliau (Najib), namun ia perlu mematuhi beberapa syarat tertentu di bawah Perkara 42 (1) Perlembagaan Persekutuan.

"Namun, pengampunan ini bukan diberi secara automatik kerana beliau (Najib) perlu menjalani hukuman penjara dalam beberapa tempoh masa," kata peguam itu dan menambah Yang di-Pertuan Agong mesti mendapatkan nasihat dan persetujuan semua ahli Lembaga Pengampunan sebelum membuat keputusan.

Sementara itu, peguam Datuk Geethan Ram Vincent berkata, Najib boleh mendapatkan pengampunan diraja tetapi beliau masih perlu menghadapi kes lain seperti perbicaraan 1MDB dan laporan audit. - BERNAMA