Satu saman difailkan seorang ahli Wanita UMNO Bahagian Langkawi terhadap Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi tadi.

Anina Saaduddin ketika ditemui berkata, dia tidak gentar jika dikenakan tindakan oleh parti.

"Saya buat ini demi parti. Saya rasa bertanggungjawab dalam menjaga kepentingan ahli UMNO dan juga rakyat Malaysia," katanya.

Saman tersebut meminta Najib menjelaskan perihal penerimaan derma politik bernilai RM2.6 billion dalam akaun peribadinya.

Najib bagaimanapun sudah menjelaskan wang itu bukan untuk kepentingan peribadi.

Anina membuat kenyataan di Mahkamah Tinggi KL


Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin juga berkata, sumbangan daripada penyokong biasanya dimasukkan ke dalam akaun parti atau akaun peribadi milik individu yang amat dipercayai dalam sesebuah parti untuk digunakan bagi kerja-kerja politik.

''Tiada undang-undang di Malaysia yang melarang parti politik daripada menerima sumbangan daripada penyokong mereka sendiri dan itu bukan satu kesalahan," katanya.

Dalam saman berkenaan, Anina turut menamakan Setiausaha Kerja UMNO, Datuk Abdul Rauf Yusof sebagai defendan kedua.

Dia juga memohon perintah injunksi bagi menghalang UMNO mengambil tindakan ke atasnya selagi saman tidak dibatalkan.

Pada 9 Ogos, Anina dalam Mesyuarat Agung UMNO Bahagian Langkawi telah menyuarakan kekecewaan terhadap Najib serta mendakwa mendapat sokongan dari kesemua ahli UMNO.

Pada 3 Ogos, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan wang yang diterima Najib adalah derma politik oleh penderma dari Asia Barat.

Malah, menurut agensi anti rasuah negara itu, sumbangan berkenaan telah disahkan tiada kaitan langsung dengan 1Malaysia Development Berhad.