KUALA LUMPUR:Kerajaan perlu segera mendakwa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali di mahkamah kerana melanggar perintah kuarantin wajib, kata bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata biarlah mahkamah yang menentukan menteri dari Pas itu bersalah atau tidak, selepas balik dari satu lawatan ke Turki pada Julai lalu.

Najib berkata beliau membuat gesaan itu bukan kerana hendak mengecam Pas tetapi kerana ramai orang tidak puas hati menteri itu tidak dikenakan tindakan.

“Dakwa Menteri Perladangan Dalam Mahkamah, biar mahkamah putuskan dia salah ke tidak atau apa hukumannya. Sebab saya difahamkan, KKM (Kementerian Kesihatan) atau imigresen terlepas keluarkan arahan kuarantin mandatori pada dia,” katanya menerusi satu kenyataan yang disiarkan di Facebook.

 
Sumber Facebook najibrazak

Najib berkata, Khairuddin perlu berdepan tindakan di mahkamah. Jika tidak, isu itu akan terus dimainkan oleh pelbagai pihak, termasuk pemimpin pembangkang.

“Jika kalah, masih boleh rayu. Hentikan modal propaganda PH (Pakatan Harapan) sebab saya dah bosan tengok (Lim) Kit Siang buat puluhan posting bagi isu yang sama,” katanya.

Selain itu Najib turut menggesa kerajaan agar melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) Bersasar untuk Kluster Meru.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan melaksanakan larangan rentas negeri di Semenanjung Malaysia bagi semua trafik bukan komersial selama dua minggu.

"Nasihatkan rakyat untuk tidak pulang ke kampung buat sementara waktu supaya tak berjangkit kepada orang tua.

"Lanjutkan moratorium pinjaman bank secara pukal bagi seluruh Sabah selagi masih dalam PKPD.

"Galakkan semua majikan swasta untuk benarkan staf kerja dari rumah. Arahkan semua staf kerajaan dan syarikat berkait kerajaan untuk kerja dari rumah jika tidak diperlukan berada di pejabat.

"Benarkan premis-premis makanan untuk buka meja di kaki lima atau luar premis tanpa didenda sebab risiko penularan lebih rendah jika makan di luar (open air)," katanya lagi.

Ahli Parlimen Pekan itu juga menyarankan agar semua sekolah diarahkan untuk memberi kelonggaran dan tidak menghukum pelajar yang tidak hadir ke sekolah kerana ibu bapa bimbang penularan COVID-19.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia boleh mengarahkan agar pihak sekolah menyediakan pelajaran secara dalam talian setiap hari atau dihantar melalui WhatsApp kepada ibu bapa.