Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengetuai delegasi Malaysia ke sesi ke-68 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semasa lawatan kerjanya ke New York dari 25 hingga 29 Sept.

Sebelum itu, beliau dijadual mengadakan lawatan kerja ke San Francisco bagi menghadiri mesyuarat agung tahunan Majlis Penasihat Sains dan Inovasi Global (GSIAC) dari 22 hingga 24 Sept, menurut kenyataan Kementerian Luar.

Di New York, perdana menteri dijadual menyampaikan Kenyataan Negara Malaysia dalam Debat Umum pada 28 Sept.

Sebagai tambahan, beliau juga dijangka menyampaikan kenyataan di Mesyuarat Peringkat Tertinggi Perhimpunan Agung PBB mengenai Perlucutan Senjata Nuklear pada 26 Sept.

"Perdana menteri akan turut mengambil kesempatan melobi sokongan bagi pencalonan Malaysia sebagai anggota tidak tetap ke Majlis Keselamatan PBB bagi penggal 2015-2016," menurut kenytaan itu.

Kementerian Luar menegaskan Kuala Lumpur akan terus menyokong peranan utama PBB sebagai landasan pelbagai hala yang membina usaha mengekalkan keamanan dan keselamatan sejagat.

Kenyataan itu menyebut Najib juga dijadual menyampai ucaptama pada majlis Asia Society selain mengadakan perjumpaan dengan tokoh industri utama negara Asean dan Amerika Syarikat semasa majlis makan tengah hari bersama US-Asean Business Council dan US Chamber of Commerce.

"Perdana menteri akan mengadakan perbincangan dua hala dengan beberapa rakan sejawatan beliau untuk membincangkan perkara berkepentingan bersama selain mengambil bahagian dalam beberapa program dua hala bagi memperkukuhkan lagi hubungan Malaysia-Amerika," jelas kenyataan itu.

Selain itu, beliau turut dijadual menghos jamuan malam bersama rakyat Malaysia di New York pada 28 Sept.

Bagi lawatan ke New York, Najib akan diiringi Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Rohani Abdul Karim, dan pegawai kanan dari Pejabat Perdana Menteri serta kedua-dua kementerian berkenaan.

Semasa lawatan ke San Francisco pula, Najib akan mempengerusikan mesyuarat ke-3 GSIAC dan merasmikan forum peringkat tertinggi mengenai teknologi hijau yang akan disertai anggota majlis antarabangsa dan kebangsaan yang merupakan pakar global dalam sains dan inovasi.

GSIAC diasaskan oleh perdana menteri pada 2010 sebagai sebahagian daripada usaha berterusan beliau untuk mentransformasi Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi dengan mempertingkatkan keupayaan Malaysia dalam bidang sains dan inovasi.

Kenyataan itu turut menyebut Najib akan turut menghadiri mesyuarat ke-7 Panel Penasihat Antarabangsa Bioteknologi (BIO-IAP) dan melawat Silicon Valley, termasuk melakukan lawatan ke ibu pejabat Twitter dan Google.

Najib, menurut kenyataan itu, akan menyaksikan pertukaran dokumen Memorandum Persefahaman (MOU) antara Malaysia Industry-Government Group for High Technology (MIGHT) dan Asian Energy Investment Pte Ltd (AEI); MIGHT Technology Nurturing (MTN) dan The Clean Tech Open (CTO); Malaysian Green Technology Corporation (MGTC) dan General Electric Co. (GE) pada 23 Sept selepas menghadiri forum peringkat tertinggi itu.

Aturcara lawatan beliau di San Francisco termasuk menghadiri jamuan malam anjuran Commonwealth Club of California dan menyampaikan syarahan awam di hotel Intercontinental Mark Hopkins.

Commonwealth Club of California merupakan forum hal ehwal awam tertua dan terbesar di Amerika yang menghoskan syarahan awam beberapa pemimpin terkemuka seperti bekas Presiden Ronald Reagan dan Bill Clinton.

Najib akan diiringi beberapa menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan di San Francisco.