Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dengan sepenuh hati menyokong cadangan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) untuk mengambil alih pemilikan penuh Sistem Penerbangan Malaysia (MAS) dalam usahanya untuk menstabilkan kembali syarikat itu.

Awal hari ini, Khazanah mengumumkan ia akan membeli baki saham yang masih belum dimilikinya dalam MAS dengan nilai 27 sen sesaham.

Berikut adalah kenyataan penuh Perdana Menteri yang dikeluarkan hari ini:

"Hari ini, Kerajaan Malaysia melalui dana pelaburan strategik Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) mengumumkan proses rasmi pengambilalihan pemilikan penuh dan penyahsenaraian saham Malaysia Airline System Berhad (MAS). Ini adalah langkah permulaan yang perlu bagi syarikat penerbangan nasional itu untuk kembali mengaut keuntungan. Saya dengan sepenuh hati menyokong pengumuman tersebut.

"MAS adalah sebahagian daripada Malaysia. Ia adalah simbol kebanggaan, cita-cita dan tempat di mana negara bertapak di mata dunia. Ia lebih daripada sekadar sebuah syarikat/perniagaan kepada kita. Oleh yang demikian, perubahan akan dilakukan mulai hari ini untuk memastikan ia akan tetap menjadi sebahagian daripada masa depan Malaysia.

"Seperti semua, saya turut bersedih dengan kehilangan MH370 dan MH17. Jarang bagi sebuah syarikat penerbangan untuk dilanda oleh dua tragedi yang tragis dalam jangka masa yang singkat. Takziah kepada semua mangsa; doa kami panjatkan kepada keluarga mereka, dan kami berterima kasih kepada masyarakat dunia di atas sokongan dan doa mereka ketika ketika mengharungi detik-detik sukar ini.

"Kami berharap kedua-dua tragedi ini akan mengubah cara industri penerbangan beroperasi, menjadikan perjalanan global menjadi lebih selamat. Kita juga harus akui ia akan mengubah cara MAS beroperasi.

"Kami percaya MAS harus diperbaharui secara menyeluruh untuk menghasilkan sesuatu yang berbeza. Hanya melalui perubahan yang sepenuhnya ini MAS akan memberikan hasil yang kukuh dan berpanjangan. Ini tidak akan berlaku jika perubahan dijalankan secara bertahap.

"Proses pembaharuan ini akan melibatkan langkah-langkah yang perit dan pengorbanan daripada semua pihak. Arahan dan komitmen saya kepada semua yang terbabit ialah untuk menjalankan proses ini secara profesional dengan adil, telus dan saksama.

"Oleh yang demikian, semua pihak harus bersatu dan bekerjasama dengan rapat. Tanpa sokongan daripada semua pihak – pengurusan, para pekerja, persatuan-persatuan, pemiutang dan vendor-vendor – termasuk semua penumpang setia dan rakyat Malaysia, langkah penstrukturan semula ini tidak akan berjaya.

"Pihak kerajaan dan Khazanah kini berada di peringkat akhir melengkapkan pelan penstrukturan semula yang komprehensif dan holistik. Setelah melalui beberapa proses dan kelulusan daripada pihak tertentu, kami menjangkakan satu pelan terperinci akan diumumkan sebelum akhir Ogos ini.

"MAS adalah syarikat penerbangan rasmi dan kebanggaan negara kita. Perubahan yang akan bermula hari ini akan dijadikan sebagai batu asas kepada kejayaannya di masa hadapan. Saya meminta kepada semua rakyat Malaysia untuk terus menyokong Malaysia Airlines agar ia terus menjadi sebuah syarikat penerbangan rasmi negara yang lebih kukuh."