Pemilik akhbar The Edge, Datuk Tong Kooi Ong, menyangkal kenyataan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang pernah mengakui tidak mengenali ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low.

Menurut Tong, Najib telah diberi amaran tentang penglibatan Jho Low di dalam 1MDB sejak tahun 2015 lagi.

Tong juga menyatakan, Datuk Seri Nazir Razak, iaitu adik Najib, telah pergi ke London bersama Tong untuk menemui Tun Dr Mahathir Mohamad bagi menyelesaikan masalah 1MDB ini.

Tong dan Nazir juga telah berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin, selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, untuk menyuarakan kerisauan mereka tentang penglibatan Jho Low dalam 1MDB.

Selain itu, Tong dan Nazir juga telah berjumpa dengan beberapa wakil kerajaan lain bagi menggariskan betapa pentingnya usaha membongkar segala kerenah yang sedang berlaku di dalam 1MDB.

Pada 10 Februari 2015, Tong, bersama Ketua Pegawai Eksekutif The Edge Ho Kay Tat telah bertemu Clare Rewcastle-Brown di Singapura untuk berjumpa dengan Xavier Andre Justo.

Pertemuan ini adalah untuk mendapatkan bukti kukuh tentang penglibatan Jho Low di dalam 1MDB.

Justo telah memberi satu hard disk yang mengandungi lebih 227,000 dokumen. Data ini melebihi 90 gigabyte dan sekarang digunapakai sebagai bahan bukti oleh pihak berkuasa seluruh dunia.


LIHAT: Wawancara Xavier Andre Justo bersama Astro AWANI

Ini merupakan bukti kukuh tentang penglibatan Jho Low dalam 1MDB.

Lebih kurang tiga minggu selepas itu, Tong telah berjumpa dengan Najib pada 6 Mac 2015 di rumah beliau di Jalan Duta, Kuala Lumpur.

Menurut Tong, pertemuan ini diuruskan Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim, yang merupakan ahli Parlimen Baling dan Pengerusi Tabung Haji pada waktu itu.

Di dalam pertemuan ini, Tong telah menjelaskan kepada Najib secara teliti, bagaimana Jho Low mencuri wang dari 1MDB.

Tong juga menjelaskan kepada Najib tentang individu-individu lain yang bersubahat dengan Jho Low untuk mencuri wang 1MDB.

Dalam pertemuan ini juga, kata Tong, beliau menjelaskan kepada Najib tentang institusi yang Jho Low gunakan untuk mencuri wang 1MDB.

Bagaimanapun, katanya, reaksi Najib setelah mendapat maklumat ini mengejutkan Tong.

“Najib amat sensitif tentang penglibatan Jho Low,” kata Tong melalui sebuah rencana yang ditulis beliau dalam akhbar The Edge bertarikh 24 November 2018.

“Kami duduk di ruang tamu rumah beliau di Taman Duta. Hanya kami berdua di dalam kamar itu.

"Saya telah menjelaskan bagaimana Jho Low, melalui syarikat Good Star, telah mencuri wang dari 1MDB. Tetapi reaksi Najib setelah mendapat maklumat ini mengejutkan saya,” jelas Tong.

“Beliau bangkit dari kerusinya, berjalan ke pintu masuk kamar itu, dan suruh saya keluar dari rumahnya,” tambah Tong lagi.

BACA: Jabatan Audit Negara diarah gugur fakta Jho Low hadir mesyuarat 1MDB

Dua hari setelah dihalau dari rumah Najib, pada 7 Mac 2015, akhbar The Edge mula melaporkan mengenai Jho Low dan 1MDB.

Laporan yang berjudul “Shahrol, jelaskan Good Star, wang 1MDB yang membayar syarikat ini, dan kenapa kamu terima arahan Jho Low” telah diterbitkan The Edge pada 7 Mac 2015.

Dalam minggu-minggu seterusnya, bekas pengarah media Najib, Paul Stadlen telah berjumpa dengan Tong beberapa kali untuk meminta beliau tidak meneruskan laporan 1MDB yang boleh menjejaskan nama baik Najib.

“Walaupun laporan The Edge bertumpu kepada isu 1MDB dan Jho Low, Paul Stadlen dengan jelas menyatakan kepada kami, segala serangan media terhadap Jho Low sama seperti serangan terhadap Najib sendiri,” kata Tong.

The Edge bagaimanapun tetap meneruskan laporan penipuan 1MDB selepas itu.

Laporan terakhir dibuat The Edge sebelum lesennya ditarik balik berjudul “Bagaimana Jho Low dan Petro Saudi menipu Malaysia sebanyak US$1.83 bilion tunai”.

Pada 24 Julai 2015, lesen terbitan mingguan The Edge dan harian Financial Daily telah ditarik oleh Menteri Dalam Negeri.

“Najib tahu apa yang Jho Low lakukan. Kami di The Edge telah berikan bukti yang cukup. Tetapi Najib telah membisukan kami dengan menutup akhbar kami,” kata Tong lagi.

Pada 23 September 2015, Mahkamah Tinggi Persekutuan membatalkan tarikan lesen terbitan The Edge dan Financial Daily dan memutuskan bahawa tarikan lesen ini dalah tidak sah dari segi undang-undang.

The Edge dan Financial Daily memulakan operasi mereka setelah lesen terbitan dikembalikan atas arahan mahkamah selepas waktu itu.