Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meluah perasaan terkejut terhadap kenyataan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mengakui bahawa ekonomi Malaysia masih kukuh.

Menurutnya, sebelum PRU14, tiada seorang pun dari mana-mana pemimpin PH mengakui ekonomi Malaysia adalah dalam keadaan yang kukuh dan baik.

“Yang ada hanyalah Guan Eng yang memuji ekonomi Pulau Pinang kukuh tetapi pada masa yang sama menuduh Malaysia akan ‘bankrap’.

“Rakyat menganggur walaupun Pulau Pinang masih sebahagian dari Malaysia dan bukan negara asing pun,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya, semalam.

BACA: Ekonomi Malaysia pada asasnya kukuh dan berdaya tahan - Lim

BACA: Najib beri penjelasan surat bukti derma

Katanya, sudah sampai masa untuk PH mengakui bahawa kerajaan BN sebelum ini telah mewariskan sebuah negara dengan ekonomi yang kukuh.

“Saya juga ingat Tony Pua pernah mengeluarkan kenyataan media dua tahun dahulu kononnya Malaysia sudah hilang daya saing dan tiada lagi negara asing hendak mengimport produk hasil Malaysia biarpun eksport negara naik berpuluh peratus setiap bulan pada masa itu.

“Jika ekonomi Malaysia akan terus kukuh pada masa atau tidak kini bergantung sepenuhnya pada pengendalian Guan Eng dan kerajaan PH. Kita doakan yang terbaik,” katanya.