Datuk Seri Najib Tun Razak tiba di sini pada Rabu malam untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan Asean-India selama dua hari bermula Khamis.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor mendarat di lapangan terbang, Palam Air Force Station, pada kira-kira 10.05 malam (12.35 pagi Khamis di Malaysia).

Ketibaan pemimpin Malaysia itu disambut oleh E.Ahamed, Menteri Negara bagi Hal Ehwal Luar dan Pembangunan Sumber Manusia India, dan Pesuruhjaya Tinggi Malaysia Datuk Tan Seng Sung.

Delegasi Malaysia pada sidang itu turut disertai Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri G.Palanivel serta Duta Khas Malaysia ke India dan Asia Selatan bagi Infrastruktur Datuk Seri S.Samy Vellu.

Di luar sidang kemuncak itu yang bertemakan 'Perkongsian Asean-India untuk Keamanan dan Kemakmuran Bersama', Najib dijadual mengadakan pertemuan bilateral dengan rakan sejawatannya dari India, Manmohan Singh.