PUTRAJAYA: Kenderaan yang membawa Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat meninggalkan Istana Kehakiman, di sini, sekitar pukul 5.40 petang.

Bagaimanapun, kenderaan tersebut tidak keluar di pintu yang mana lebih 100 penyokong berkumpul, sebaliknya, menggunakan pintu lain, di seberang tempat penyokong beliau berkumpul.

Hanya kenderaan membawa keluarga beliau termasuk isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat keluar di pintu berhampiran parkir pelawat dan kakitangan Istana Kehakiman.

Beliau juga sempat membuka tingkap dan melambai kepada penyokong yang berada di luar yang melaungkan "Datin Seri" dan "Bossku".

Dua buah trak juga dilihat keluar meninggalkan kompleks mahkamah dan ketika kedua-duanya keluar, keadaan sedikit gamat apabila penyokong dan media menyangka Najib berada di dalam trak tersebut, namun, bekas Perdana Menteri itu tiada di dalam trak tersebut.

Penyokong beliau juga bertambah hampa apabila mengetahui Ahli Parlimen Pekan itu keluar menggunakan pintu lain.

Media difahamkan, beliau menuju ke Kajang selepas meninggalkan Istana Kehakiman.