'NAK buat konsert buatlah, tapi jangan kacau padang'

Itu pandangan pakar rumput yang juga pengasas kepada syarikat Turf Consultancy Sdn Bhd, Normas Yakin Md Arifin mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa, Ed Sheeran di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada 24 Februari depan.

Ia selepas penganjuran konsert itu hampir dengan aksi Kelayakan Piala Dunia 2026/ Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Oman pada 26 Mac 2024.

Normas Yakin juga melihat tempoh sebulan selepas konsert tersebut tidak mencukupi untuk memastikan rumput dalam keadaan bersedia sebelum perlawanan penting melibatkan pasukan negara.

“Jika konsert itu menggunakan padang sebagai sebahagian daripada penganjuran, maka keadaan sama akan berlaku seperti selepas konsert Coldplay lalu.

“Padang itu tidak mampu pulih sepenuhnya dalam tempoh sebulan. Kalau saya, tidak akan ambil sebarang konsert sebelum perlawanan kelayakan itu.

“Namun, jika Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) tetap mahu meneruskannya, mereka perlu melihat pendekatan yang lebih sesuai tanpa mengganggu permukaan padang,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.

Sebelum ini, padang SNBJ menjadi bahan kritikan penyokong selepas rosak teruk akibat digunakan untuk konsert kumpulan Coldplay pada 22 November lalu.

Ia sekali gus memberikan kesan kepada perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) selepas padang itu tidak sempat dibaiki sehingga tarikh perlawanan.

Beliau berkata, PSM mungkin boleh meletakkan pentas konsert atau sebarang pembesar suara di atas balapan dan bukan di atas padang.

“Mengikut pandangan saya, padang rosak terutama di bahagian tengah selepas konsert Coldplay itu kerana penganjur meletakkan pentas dan barang elektrik di atas padang.

“Apa salahnya pentas dan segala peralatan diletakkkan atas balapan dan tidak mengganggu padang. Lagipun, kapasiti tempat duduk di venue itu kira-kira 80,000 orang dan kenapa perlu lagi peminat berada di atas padang buat masa ini?

“Saya tak merasakan penonton atas padang adalah masalah pada masa akan datang apabila rumput dah lebih matang.

“Tetapi buat masa ini biarlah mereka berada di tempat duduk dan saya yakin jika padang tidak diganggu, tiada masalah kerosakan padang lagi untuk aksi skuad negara nanti,” katanya. - Sinar Harian