Sikap memburukkan imej negara oleh sesetengah pihak termasuk bekas pemimpin akan memberi kesan yang sangat negatif kepada prospek dan peluang Malaysia dalam meraih pelaburan asing.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sikap buruk pihak terbabit menyebabkan negara hampir terlepas pelaburan besar dari Saudi Aramco apabila mereka menyalurkan maklumat tidak betul mengenai Malaysia kepada syarikat minyak Arab Saudi itu.

Katanya Malaysia hampir kehilangan kontrak pelaburan bernilai RM31 billion bagi melaksanakan kilang penapisan minyak di Pengerang, Johor yang ditandatangani Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud semasa lawatannya ke sini baru-baru ini.

"Apa yang berlaku? Hampir-hampir rezeki yang patut datang, terlepas dari tangan kita kerana ada di kalangan kita yang tak ada perasaan, tak ada hati perut.

"Mereka hendak gagalkan negara kita tetapi mangsanya ialah rakyat Malaysia," kata Najib ketika melancarkan Ekspresi Negaraku di Dataran Putrajaya di sini hari ini.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, ia berikutan kebimbangan terhadap ketidakstabilan politik dalaman negara gara-gara fitnah yang disebarkan pihak yang tidak bertanggungjawab demi kepentingan politik mereka.

Menurut beliau, Saudi Aramco diberikan maklumat kononnya Malaysia dalam keadaan tidak stabil dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) hampir bangkrap.

Tambah Najib, kerajaan bagaimanapun sedia menerima pandangan yang membina dan sedia melakukan penambahbaikan terhadap sebarang kekurangan yang ada.

Justeru, beliau menyeru agar rakyat tidak memberi ruang kepada mereka yang berniat untuk memburukkan imej negara yang akhirnya akan merugikan rakyat sendiri.