Negara berdepan cabaran geopolitik yang juga menjadi ancaman besar kepada dunia hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, walaupun dunia berdepan ancaman keselamatan namun ekonomi dunia tetap mencatat perkembangan.

"Kita juga lihat perkembangan semasa, ada cabaran yang kita akan hadapi sebagai sebuah negara antaranya ancaman keselamatan yang merupakan ancaman besar namun, ekonomi dunia nampak berkembang lebih positif kebelakangan ini, 5.6 peratus pada suku pertama tahun ini.

"Kita sedar ada risiko baru iaitu geopolitik, ini berikutan krisis negara teluk, ancaman balistik Korea Utara dan keputusan Parlimen United Kingdom (UK) dan Brexit turut menyumbang peningkatan risiko," katanya semasa sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat MT UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Sebelum ini, Pesuruhjaya Tinggi Britain ke Malaysia, Vicki Treadell berkata, hubungan Malaysia dan UK akan terus diperkukuh pasca pilihan raya yang diadakan di negara itu ketika ini.

Tegasnya, walaupun sebelum ini beberapa kali kerajaan Britain bertukar pemimpin, namun kerjasama pelaburan, perdagangan, pendidikan dan pelbagai lagi terus erat.

Sebelum ini juga, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berharap, krisis yang berlaku di antara Qatar dan beberapa negara Teluk akan dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau berkata ini kerana perpaduan adalah asas kepada kemakmuran serantau dan antarabangsa.