KUALA LUMPUR: Institut Keusahawanan Negara Berhad (INSKEN) terus memperkukuh peranannya dalam memperkasa ekosistem keusahawanan negara apabila berjaya melatih dan membimbing 20,196 usahawan menerusi 321 program sepanjang tahun 2025.
INSKEN dalam satu kenyataan memaklumkan, pelaksanaan pelbagai program pembangunan kapasiti itu turut menyumbang kepada penjanaan hasil jualan sebanyak RM22.4 juta pada tahun sama, sekali gus mencerminkan keberkesanan pendekatan berstruktur dan berimpak tinggi yang dilaksanakan agensi berkenaan.
Advertisement
Selain itu, inisiatif yang digerakkan turut berjaya mewujudkan 710 peluang pekerjaan baharu, selaras dengan usaha menyokong pertumbuhan ekonomi domestik dan memperkukuh kedudukan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Menurut INSKEN, pencapaian tersebut menjadi asas kukuh kepada perancangan strategik 2026 yang akan memberi tumpuan kepada penskalaan usahawan mikro kepada perusahaan kecil yang lebih mampan dan berdaya saing.
"Fokus tahun 2026 turut merangkumi penciptaan peluang pekerjaan baharu dengan penawaran gaji minimum, di samping memperkasa sektor ketiga termasuk keusahawanan sosial dan perusahaan berasaskan komuniti," menurut kenyataan itu selepas majlis Media Hi-Tea yang berlangsung di ibu negara.
Bagi menyokong agenda tersebut, INSKEN menambah pihaknya akan memperkenalkan dua program baharu iaitu ‘Bangkit’ dan INSKEN Masterclass yang dirangka bagi meningkatkan daya tahan serta memperkukuh keupayaan usahawan dalam mendepani cabaran pasaran semasa.
Dalam pada itu, skop program keusahawanan INSKEN terus diperluas meliputi bidang Perniagaan Keluarga, Halal, High Growth High Value (HGHV), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Akses Pasaran serta Keusahawanan Sosial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Viviantie Sarjuni berkata sesi Media Hi-Tea dapat membantu media memahami pendekatan institusi itu, yang berperanan sebagai pemudah cara serta penghubung antara usahawan, industri dan ekosistem sokongan keusahawanan negara.
Ujarnya, media merupakan rakan strategik penting dalam menyampaikan maklumat yang tepat dan berimpak kepada masyarakat.
Justeru, INSKEN komited untuk terus bekerjasama rapat dengan pihak media serta berharap hubungan erat yang terjalin melalui sesi seperti ini, dapat diteruskan dan diperkukuh demi menyokong agenda pembangunan keusahawanan yang mampan dan inklusif.