Skip to main content

Politik

Perangai Rafizi buat anggota PKR berkelahi - Exco AMK Malaysia

KUALA LUMPUR, 28 Mei -- Datuk Seri Rafizi Ramli yang meletak jawatan sebagai Menteri Ekonomi berkuat kuasa 17 Jun 2025 akan dikenang melalui pelbagai inisiatif bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.  Beliau yang mengangkat sumpah sebagai sebahagian daripada barisan Kabinet Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Disember 2022 amat terkenal dengan inisiatif utama untuk mencadangkan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Dzul Hilmi (kiri) berpandangan, keberadaan Rafizi dalam parti ketika ini hanya menyebabkan anggota di bawah berkelahi sesama sendiri. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK) Malaysia, Dzul Hilmi Zainol mendakwa kehadiran Datuk Seri Rafizi Ramli dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika ini sebagai punca berlakunya pergeseran dalam kalangan anggota akar umbi parti.

Menurut beliau, tindakan Rafizi yang didakwa sering meluahkan pandangan melalui media sosial menimbulkan pertikaian dalaman dan disifatkan sebagai tidak wajar.

Advertisement

Jelas Ketua Biro Media Baru AMK Malaysia itu, hal ini kerana bekas Menteri Ekonomi itu merupakan Ahli Parlimen yang memenangi pilihan raya di bawah tiket PKR dan Pakatan Harapan (PH).

"Pada pandangan saya, keberadaan beliau dalam parti ketika ini hanya menyebabkan anggota di bawah berkelahi sesama sendiri. Ini yang kita namakan sebagai perangai 'diva'.

"Sekiranya benar ingin menyampaikan kebenaran, perkara tersebut sepatutnya dibincangkan melalui saluran parti, bukan hanya di media sosial," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Dzul Hilmi juga berpendapat sekiranya Rafizi bukan seorang Ahli Parlimen dalam tempoh ini, kemungkinan beliau akan kembali mendiamkan diri sehingga tamat penggal, sebagaimana yang didakwa berlaku selepas Pemilihan PKR 2018 apabila beliau tewas kepada Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Dalam pada itu, beliau menolak dakwaan bahawa Ahli Parlimen Pandan itu tidak mahu PH terus menerajui kerajaan.

Katanya, Rafizi sedar bahawa kerajaan hari ini sedang berada di landasan memperjuangkan nasib rakyat dan masa depan negara.

"Ketika beliau menjawat jawatan menteri, isu rakyat dan usaha membersihkan negara menjadi agenda utama kepimpinan kerajaan.

"Namun, pelaksanaannya memerlukan masa, dan untuk membawa individu terlibat rasuah ke muka pengadilan memerlukan bukti yang kukuh," jelasnya lagi.

Pada masa sama, beliau berharap semua pihak dalam parti dapat memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerajaan dan memenuhi mandat rakyat.

Rafizi tewas perebutan jawatan nombor dua PKR dalam pemilihan PKR pada Mei 2025, sebelum mengumumkan peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Timbalan Presiden PKR itu dilihat lantang menyuarakan pandangan termasuk melibatkan isu semasa seperti dakwaan rasuah dan teguran terhadap Anwar, yang juga Presiden PKR.

Must Watch Video