PUTRAJAYA: Negara mungkin berdepan gelombang keempat COVID-19 susulan situasi semasa peningkatan nilai R-Naught (RO) dan pertambahan kes harian di beberapa buah negeri ketika ini.

Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hampir keseluruhan negeri ketika ini mencatatkan trend tidak stabil.

"Sidang Khas MKN hari ini juga mendengar pembentangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai situasi dan penilaian risiko tempoh 14 hari pelaksanaan PKPB dan PKPP di seluruh negara dijadualkan tamat pada 14 April 2021.

"Secara keseluruhan KKM mengesahkan status kes COVID-19 di beberapa negeri menunjukkan trend tidak stabil dan R-naught melepasi angka satu," katanya dalam sidang media harian PKP pada Isnin.

Dalam pada itu, Sidang Khas MKN jelas Ismail bersetuju mengekalkan status enam negeri dibawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Atas cadangan, sidang khas MKN membuat keputusan berikut enam negeri dikekalkan PKPB iaitu Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan dan Sarawak.

"Manakala 10 negeri, Perlis, Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Sabah, Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Wilayah Persekutuan Labuan. Oleh itu 10 negeri ini terus kekal dengan status PKPP," jelasnya lagi.

Kesemua arahan itu berkuatkuasa bermula 15 sehingga 28 April 2021 kecuali Sarawak bermula 13 sehingga 26 April depan.