Skip to main content

Malaysia

Negeri Sembilan komited sokong agenda industri halal

SEREMBAN, 11 Mac -- Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun menjawab pertanyaan wartawan semasa sidang media khas berkenaan pelaburan Negeri Sembilan di Wisma Negeri, hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Aminuddin berkata, potensi industri halal tidak terhad kepada sektor makanan dan minuman sahaja, malah melibatkan pelancongan, keusahawanan, pertanian, pendidikan, logistik dan sektor sokongan lain yang menjana peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat. - Gambar fail Bernama

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan komited menyokong agenda pembangunan industri halal yang mampu memberi manfaat kepada pertumbuhan ekonomi negeri. 

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, potensi industri halal tidak terhad kepada sektor makanan dan minuman sahaja, malah melibatkan pelancongan, keusahawanan, pertanian, pendidikan, logistik dan sektor sokongan lain yang menjana peluang ekonomi serta meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Beliau berkata, pembangunan industri halal juga sebahagian daripada strategi pembangunan negeri kerana ia mampu memberikan impak besar kepada pertumbuhan pelaburan dan peluang pekerjaan.

"Industri halal mempunyai kesan limpahan ekonomi yang sangat luas. Ia merangsang pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana, memperkukuh sektor perkhidmatan, meningkatkan aktiviti eksport serta menarik pelaburan baharu yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat. 

"Sektor ini dapat memperkukuh imej Negeri Sembilan sebagai negeri progresif, stabil, diyakini pelabur dan bersedia memenuhi keperluan ekonomi masa hadapan yang berteraskan kemampanan dan nilai sejagat,” katanya berucap pada program “Negeri Sembilan International Conference and Halal Expo” (NICHE) 2026, di sini, pada Selasa.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri berperanan dalam membangunkan ekosistem industri halal melalui penyediaan kawasan perindustrian strategik, pembangunan infrastruktur, pemudahcaraan pelaburan dan pelaksanaan pelbagai inisiatif bagi menggalakkan pertumbuhan industri berimpak tinggi termasuk sektor halal.

Beliau berkata, kedudukan strategik negeri ini di tengah-tengah koridor ekonomi utama negara memberi kelebihan besar untuk muncul sebagai destinasi pilihan pelaburan halal di Malaysia.

"Kita mempunyai rangkaian infrastruktur yang baik, akses kepada pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa, tenaga kerja yang kompeten serta sokongan institusi pendidikan tinggi yang mampu menyumbang kepada pembangunan bakat dan penyelidikan berkaitan industri halal,” katanya.

Beliau berkata, masa depan industri halal bukan hanya bergantung kepada kemudahan fizikal atau pelaburan tetapi juga keupayaan dalam melahirkan bakat, menghasilkan inovasi dan membina keyakinan pasaran dunia terhadap standard halal yang dibangunkan oleh negara.

-- BERNAMA

 

 

  

Must Watch Video

Advertisement