KUALA LUMPUR: Ketua Jurulatih Pecut Kebangsaan Thabo Matebedi menyifatkan sasaran untuk pelari pecut sensasi negara Muhammad Azeem Mohd Fahmi mencatat masa bawah 10 saat (s) bagi acara 100 meter (m) pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 sebagai “belum realistik”, namun yakin atlet itu berada di landasan yang tepat untuk mengekalkan pingat gangsa.
Matebedi berkata Muhammad Azeem, yang memenangi gangsa acara 100m lelaki pada Sukan Asia 2022 dengan catatan 10.11s, menunjukkan kecergasan fizikal yang sangat baik dalam latihan menjelang temasya itu.
“Ada peluang yang sangat besar untuk Muhammad Azeem mengekalkan pingat gangsa. Dia hanya perlu bangkit dari segi mental pada hari pertandingan. Saya fikir dari segi mental dia masih belum berada pada tahap yang sepatutnya tetapi dari segi fizikal, apa yang saya lihat dalam latihan ialah 10 daripada 10.
“(Bawah 10s?) Dalam tempoh lapan bulan akan datang, saya fikir begitu. Pada Sukan Asia? Pada Sukan Asia, saya akan berterus terang. Ia belum realistik. Mengapa? Jika anda melihat catatan terbaik peribadinya, dia baru sahaja berpisah dengan bekas jurulatihnya dan sebelum jurulatih baharu mengambil alih, dia masih mengikuti apa yang telah dilakukan oleh jurulatih Ken di Amerika Syarikat. Sukar untuk menggabungkan kedua-dua sistem latihan itu.
“Sebab itu saya juga tidak mahu mengubah apa yang telah dilakukan oleh jurulatih Ken kerana ia mungkin menyebabkan dia terdedah kepada risiko kecederaan. Jadi, saya tidak mahu mengubahnya kerana saya tidak mempunyai asas tentang dari mana dia datang, termasuk asas latihan yang dibinanya,” katanya ketika ditemui di Bukit Jalil semalam.
Matebedi berkata keadaan fizikal Muhammad Azeem semata-mata tidak akan menentukan prestasinya pada kejohanan utama, sebaliknya persediaan mental turut memainkan peranan penting.
“Jadi, sekarang Muhammad Azeem berada dalam keadaan fizikal yang baik tetapi ini kejohanan. Anda perlu bangkit. Keadaan fizikal tidak bermakna apa-apa. Pemikiran anda juga perlu berada pada tahap terbaik.
“Perbezaan antara atlet yang baik dengan atlet yang hebat ialah pemikiran,” kata jurulatih dari Afrika Selatan itu.
Matebedi ketika mengulas mengenai sama ada Muhammad Azeem mampu memperbaiki rekod kebangsaan 10.09s pada Sukan Asia itu berkata keputusan berkenaan bergantung kepada beberapa faktor, termasuk keadaan pada hari perlumbaan.
Beliau bagaimanapun yakin usaha memecahkan rekod kebangsaan perlu dijadikan sasaran selepas Sukan Asia, apabila beliau merancang untuk berbincang bersama pasukan bagi merangka program untuk musim berikutnya.
“Bergantung kepada perasaannya pada hari berkenaan. Ia bergantung kepada keadaannya pada hari itu. Saya tahu jawapannya mungkin agak luas tetapi saya tidak mahu memberikan terlalu banyak tekanan kepadanya,” katanya.
-- BERNAMA