SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mahu memperkukuh kerjasama dengan pakar dan ilmuwan dalam bidang penyelidikan sejarah dan warisan bagi memastikan khazanah ilmu negeri terus didokumentasikan, dikaji dan dapat diakses masyarakat menerusi pendekatan termasuk penerbitan karya ilmiah serta teknologi digital.
Menteri Besar Datuk Ismail Lasim berkata kerajaan negeri tidak boleh bergerak bersendirian dalam usaha berkenaan, sebaliknya memerlukan pandangan pakar, kajian, data, pemikiran kritikal dan keberanian ilmuwan untuk memberikan pandangan yang berasaskan ilmu.
"Saya mahu melihat Negeri Sembilan berkembang bukan sahaja sebagai negeri yang kaya dengan warisan budaya, tetapi juga sebagai negeri yang mempunyai ekosistem ilmu yang kukuh dan tradisi intelektual yang dihormati," katanya pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Za'ba dan Hamka di sini semalam.
Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri Datuk Razali Abu Samah.
Beliau berkata pembangunan sesebuah negeri tidak boleh hanya diukur melalui pembangunan infrastruktur, kawasan perindustrian dan pelaburan, sebaliknya perlu turut memberi tumpuan kepada pembinaan insan.
Ismail berkata dalam dunia kecerdasan buatan, media sosial dan lambakan maklumat, generasi muda bukan sahaja memerlukan kemahiran teknologi, tetapi perlu mendalami pengetahuan mengenai sejarah, budaya, bahasa, agama dan nilai.
“Za’ba mengajar kita tentang kekuatan bahasa, pendidikan dan pembinaan bangsa. Hamka pula mengajar kita tentang ilmu, agama, akhlak dan makna kehidupan. Kedua-duanya mengingatkan kita bahawa kemajuan manusia mesti berjalan seiring dengan pembangunan jiwa dan pemikiran,” katanya.
Seminar bertajuk Wacana Pemikiran, Warisan dan Relevansi Sejagat anjuran Lembaga Muzium Negeri Sembilan dan Jabatan Muzium Malaysia menghimpunkan 300 peserta terdiri daripada sarjana dan pensyarah universiti dari Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei.
Penganjuran seminar tersebut memberi tumpuan kepada pemikiran dan warisan intelektual dua tokoh besar iaitu Pendeta Za’ba (Zainal Abidin Ahmad) dan Hamka (Haji Abdul Malik Karim Amrullah), masing-masing memberikan sumbangan besar dalam bidang bahasa, pendidikan, agama, kesusasteraan dan pembinaan jati diri masyarakat.
-- BERNAMA