KOTA BHARU: Negeri Sembilan FC berjaya membawa pulang tiga mata penuh selepas menang tipis 1-0 ke atas Kelantan United pada aksi kedua peringkat Kumpulan C Piala Malaysia di Stadium Sultan Muhammad IV semalam.

Negeri Sembilan, yang turun membawa status sebagai juara Liga Premier, lebih menguasai perlawanan dengan melakukan serangan berterusan ke arah pintu gawang tuan rumah Kelantan United (KUFC).

Peluang terbaik menjaringkan gol Negeri Sembilan dicipta pada minit ke-14 menerusi Thierry Akono di dalam kotak penalti namun bola berjaya ditepis keluar oleh penjaga gol KUFC Mohamad Ramdhan Ab Hamid.

Skuad tuan rumah, yang lebih menggunakan corak permainan serangan balas, hampir menjaringkan gol menerusi sepakan kencang ketua pasukan Fakhrul Zaman Wan Abdullah Zawawi dari jarak 35 meter di luar kotak penalti namun dinafikan oleh penjaga gawang Negeri Sembilan Damien Chein Khai Kim.

Tamat separuh masa pertama, kedua-dua pasukan masuk ke bilik persalinan selepas berjaya mempertahan pintu gawang masing-masing daripada dibolosi.

Separuh masa kedua, permainan seimbang ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan yang mengatur gerakan dengan berhati-hati daripada melakukan kesilapan yang boleh memberi peluang untuk kedua-dua pasukan menjaringkan gol pertama perlawanan.

Sehingga minit ke-70, kedua-dua pasukan dilihat sukar mencipta jaringan sulung perlawanan dengan benteng pertahanan masing-masing kebal mempertahan gawang gol.

Gol Negeri Sembilan dihasilkan oleh pemain gantian Muhammad Ferris Danial Mat Nasir pada minit ke-80 apabila bijak menolak mudah bola lintang rakan sepasukan dari arah kanan pasukan KUFC.

Dengan gol itu, Kelantan United sekali lagi kecewa apabila gagal meraih sebarang mata selepas tewas 3-0 pada perlawanan pertama peringkat kumpulan menentang Kedah.

-- BERNAMA