KUALA PERLIS: Seorang nelayan dikhuatiri hilang ditemukan lemas selepas terjatuh ke laut ketika menangkap udang menggunakan bubu naga di perairan Sungai Baru berdekatan Batu Layang, di sini, awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 pagi Sabtu, mangsa, Khairul Amir Bahroom, 33, dikatakan terjatuh ke laut ketika bersama abangnya yang berusia 39 tahun, juga seorang nelayan.
Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, jasad mangsa ditemukan kira-kira jam 8.25 pagi tadi oleh nelayan tempatan.
“Mayat mangsa ditemui pada jarak 400 meter dari Pulau Batu Layang (lokasi mangsa dilaporkan terjatuh).
“Operasi membawa mayat mangsa ke darat masih dilakukan pasukan Kastam Kuala Perlis dan mengalami kesukaran berikutan paras air terlalu surut di jeti Kuala Sungai Baru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Yusharifuddin berkata, mayat mangsa dijangka dihantar ke Hospital Tengku Fauziah, Kangar untuk proses bedah siasat.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.