MALAYSIA
Nelayan perlu tumpu elemen pemasaran, tingkatkan pendapatan - Pengerusi LKIM

Muhammad Faiz berkata, LKIM sedang menyusun strategi lebih agresif bagi mengangkat martabat nelayan untuk turut menjadi peniaga yang akan dikelola persatuan nelayan kawasan (PNK) dan seterusnya persatuan nelayan negeri. - Foto BERNAMA
KLANG: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyarankan nelayan di seluruh negara supaya terlibat dalam aktiviti pemasaran bagi meningkatkan pendapatan golongan berkenaan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, pihaknya sedang menyusun strategi lebih agresif bagi mengangkat martabat nelayan untuk turut menjadi peniaga yang akan dikelola persatuan nelayan kawasan (PNK) dan seterusnya persatuan nelayan negeri.
Beliau berkata, usaha itu perlu memandangkan pendapatan sebahagian besar nelayan kekal di takuk yang sama saban tahun sehingga memerlukan bantuan daripada banyak pihak termasuk kerajaan.
"Saya mendapati banyak syarikat seperti pasar raya meraih keuntungan besar (daripada hasil tangkapan nelayan) sehingga tersenarai di bursa saham sedangkan bukan mereka yang bersusah payah turun ke laut."Perkara itu secara tidak langsung menimbulkan persoalan mengenai kedudukan nelayan dalam struktur ekonomi negara, sungguh menyedihkan kerana ramai masih hidup dalam kemiskinan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Nelayan Negeri Selangor (PENEGOR) ke-40 di Bandar Bukit Tinggi, di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, inisiatif melibatkan nelayan dalam aktiviti pemasaran juga berpotensi direalisasikan menerusi bidang akuakultur sejajar dengan sasaran kerajaan untuk memastikan industri itu menyumbang 40 peratus bekalan ikan negara menjelang 2030.
"Dengan hasrat menubuhkan Gagasan Nelayan Jaga Nelayan dalam tempoh 10 tahun akan datang, saya menyeru semua nelayan untuk menambah keyakinan bahawa mereka mampu keluar daripada kepompong kemiskinan.
"Mulai hari ini, para nelayan menerusi persatuan masing-masing perlu mengubah pemikiran untuk memperkemas struktur tadbir urus sedia ada bagi mengelakkan khazanah perikanan kita dimonopoli pihak tidak sepatutnya," katanya.
Sementara itu, Muhammad Faiz berkata, 40,000 nelayan di seluruh negara yang menerima subsidi bahan api berjumlah RM1.6 bilion diingatkan supaya sentiasa amanah dengan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang ingkar.
Dalam acara sama yang turut dihadiri hampir 100 pemimpin PNK di seluruh negeri ini, Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) turut menyampaikan zakat berjumlah RM21,000 kepada PENEGOR untuk diagihkan kepada ahli yang layak.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami