Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menggesa nelayan di Selangor mengusahakan ternakan akuakultur sebagai usaha mengurangkan kebergantungan bekalan hasil laut dari negara luar.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin berkata langkah itu juga dilihat sebagai alternatif dalam meningkatkan hasil pendapatan nelayan di negeri ini selain menangkap ikan di laut.

"Mengikut rekod tahun 2017, Selangor merupakan pengeluar kelima akuakultur terbesar di negara ini dengan pengeluaran sebanyak 18,618 tan metrik membabitkan nilai RM230 juta.

"Pada tahun lepas juga daerah Klang mencatatkan pengeluaran hasil akuakultur sebanyak 1,105 tan metrik dengan nilai RM17 juta yang mana antaranya membabitkan penternakan ikan sangkar air payau dan kultur dasar laut kerang," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Ketam di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Perikanan Negeri Selangor Azlishah Abd Aziz dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri Selangor Norazian Safian.

Mengulas lanjut, Sim berkata bagi meningkatkan pengeluaran hasil akuakultur di negeri ini, pihaknya akan menyalurkan bantuan kepada nelayan yang membabitkan diri secara serius dalam sektor tersebut.

"Kita akan bantu dari segi penyediaan mesin atau teknologi yang diperlukan sekiranya mereka ini menunjukkan komitmen untuk menjana ekonomi menerusi aktiviti akuakultur.

"Kementerian juga merancang untuk mempelbagaikan lagi insentif dan bantuan kepada kumpulan nelayan ini pada masa akan datang sebagai usaha menjadikan sektor akuakultur lebih maju dan berdaya saing," katanya.

-- BERNAMA