Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) terpaksa melepaskan tembakan yang menyebabkan seorang nelayan Vietnam maut apabila kumpulan itu membaling bom petrol serta diesel dalam cubaan membakar bot pasukan keselamatan negara.

Dalam kejadian di kedudukan 81 batu nautika dari muara Tok Bali, Kelantan kira-kira jam 11.30 malam tadi, kumpulan nelayan terbabit turut menggunakan tong gas yang dinyalakan api selain merempuh bot Maritim Malaysia.

Pengarah Maritim Malaysia Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nor Syam Asmawie Yaacob, berkata kumpulan 19 nelayan Vietnam yang menaiki dua bot itu dipercayai sengaja bertindak agresif bagi mengelak ditahan kerana menceroboh perairan negara.

"Mereka telah membaling bom yang disyaki diperbuat daripada petrol dan diesel ke arah bot Maritim Malaysia semasa kami cuba untuk menaiki bot mereka.

"Orang-orang mereka telah ditempatkan di tempat yang tinggi di dalam bot berkenaan untuk membaling bom itu ke dalam bot kami.

"Pada masa sama, ada awak-awak yang menyalakan api pada getah dan membaling tong gas yang dibocorkan ke bot pasukan. Jadi kami percaya tujuan mereka untuk membakar bot kami, meletupkan bot kami," katanya di sini, hari ini.

BACA: Nelayan Vietnam maut ditembak anggota APMM

Muhd Nur Syam berkata, kebiasaannya bot nelayan asing terutama Vietnam akan melarikan diri, namun kumpulan itu bertindak sebaliknya apabila membiarkan bot Maritim Malaysia menghampiri bot mereka.

Katanya, dalam situasi yang mengancam nyawa itu, anggota Maritim Malaysia telah melepaskan tembakan amaran ke arah bot berkenaan yang menyebabkan serpihan peluru terkena salah seorang nelayan Vietnam terbabit.

Beliau berkata kedua-dua bot nelayan asing itu ditunda selama 16 jam ke Jeti Maritim Malaysia Tok Bali, dan tiba jam 3.45 petang tadi.

Katanya, mayat nelayan Vietnam yang maut itu telah dibawa ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh untuk bedah siasat.