TUARAN:Taktik sekumpulan nelayan warga asing memukat dalam keadaan bergelap bagi mengelakkan aktiviti haram mereka dikesan akhirnya terbongkar selepas ditahan pihak berkuasa.

Dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah malam tadi, lima krew warga negara Indonesia yang mengedalikan bot pukat tunda itu berjaya dicekup oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) di sekitar 1.58 batu nautika utara Lok Pisuk, Tuaran.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah mengesahkan kejadian itu dalam satu kenyataan media, hari ini.

"Hasil risikan, Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) Sabah dan maklumat orang awam, kita berjaya mengesan bot pukat itu yang dipercayai melakukan kegiatan menunda di kawasan pesisir pantai atau ‘tarik siring' berhampiran Lok Pisuk, Tuaran.

"Bot terbabit yang dikendalikan oleh seorang tekong bersama empat krew, kesemuanya warga negara Indonesia ditahan bot peronda Maritim Malaysia, ketika sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan, di kawasan kurang dari tiga batu nautika dari pesisir pantai.

"Ketika serbuan, mereka juga dipercayai menggunakan taktik bergelap bagi mengelakkan aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa," katanya.

Menurut beliau, bot dan kesemua nelayan yang ditahan sudah dibawa ke Jeti Maritim Sepanggar, Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 (B), Akta Perikanan 1985 atas kesalahan melanggar syarat sah lesen kerana menunda kurang dari tiga batu nautika dari persisir pantai.