KUALA LUMPUR: Adalah tidak wajar titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang diajukan kepada pentadbiran kerajaan negeri dibuat secara tertutup memandangkan isu yang disentuh adalah bersifat berkepentingan rakyat.
Ahli Dewan Diraja Selangor, Datuk Salehuddin Saidin berkata setiap titah yang dizahirkan oleh baginda bukan bertujuan mencampuri bidang eksekutif dan ia dibuat setelah menerima nasihat daripada penasihat-penasihat baginda dalam kalangan Ahli Dewan Diraja Selangor.
“Andai kata dibuat secara tertutup. Kalau Tuanku telah titahkan banyak kali kepada kerajaan untuk ambil suatu tindakan, tetapi tidak diendahkan, maka forum manakah yang paling sesuai untuk menyatakan secara terbuka agar rakyat tahu bahawa Raja ada peranan sistem pemerintahan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Buletin AWANI Khas pada Sabtu.
Tambah Salehuddin, sistem pentadbiran negara perlu difahami dalam konteks Undang-undang Tubuh Negeri Selangor yang meletakkan Sultan Selangor sebagai ketua utama kerajaan negeri. Manakala kuasa eksekutif dilaksanakan oleh baginda bersama dengan Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diketuai oleh seorang Menteri Besar.
“Ahli-ahli politik tidak boleh ambil kesempatan dengan menyatakan bahawa sistem raja berperlembagaan dan demokrasi berparlimen ini mengehadkan kuasa Raja-raja Melayu.
“Kuasa Raja tetap ada, rakyat perlu faham, ini bukan institusi Raja hendak campur urusan kerajaan kerana sudah ada pembahagian antara kuasa Raja dan eksekutif. Kuasa Raja ialah semak dan imbang kepada semua tindakan kerajaan persekutuan atau negeri,” tambahnya.
Untuk konteks, semasa Istiadat Pembukaan Persidangan Dewan Negeri Selangor pada 20 April lalu, Sultan Selangor menyentuh isu penternakan babi dan merujuk kepada pihak yang disifatkan baginda sebagai “tidak berpuas-hati dan enggan untuk mematuhi titah”.
Perkara tersebut dibangkitkan oleh wakil rakyat bagi kawasan Seri Kembangan, Wong Siew Ki, pada 22 April, dalam perbahasan menjunjung kasih titah Sultan Selangor dengan menyatakan bahawa beliau akur dengan titah baginda dan mencadangkan agar isu tersebut diselesaikan melalui adaptasi amalan penternakan moden dan pelaburan dalam teknologi penternakan tertutup bagi memastikan tidak berlaku pencemaran seperti yang dibimbangi penduduk.
Susulan itu, pelbagai reaksi dikongsikan oleh pelbagai pihak yang membawa dengan titah Sultan Selangor pada 7 Mei yang kekal dengan pendirian bahawa baginda tidak berkenan sebarang aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Selangor.
Buletin AWANI Khas: Raja berperlembagaan lengkapi demokrasi | 23 Mei 2026