IPOH: JIka sebelum ini seorang warga emas berusia 101 tahun bersetuju dan tekad untuk menerima suntikan vaksin COVID-19, hari ini seorang lagi warga emas yang berusia 105 tahun turut melakukan perkara sama.

Goh Bak Nai, yang tinggal di Taman Sin Far di dekat sini dibawa ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital Pakar Komuniti Ipoh (PCSH) dengan ditemani ahli keluarga untuk menerima suntikan dos pertama vaksin Sinovac.

Cucunya, Shim Wen Jie, 31, berkata pada awal neneknya tidak mengetahui tentang vaksin namun selepas diberi penerangan oleh ahli keluarga, neneknya bersetuju untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Ujar Wen Jie, selain kelonggaran yang diumumkan kerajaan kepada individu lengkap divaksin, majlis perkahwinannya yang dijadualkan berlangsung pada penghujung tahun ini menjadi salah satu sebab nenek kepada lebih 20 cucu itu mengambil keputusan demikian.

“Sebelum pandemik COVID-19, nenek gemar keluar untuk meminum teh di kedai namun aktiviti itu tidak dapat dilakukan kerana COVID-19 sejak lebih setahun.

“Kami sekeluarga memberitahunya bahawa individu yang lengkap divaksin mendapat beberapa kelonggaran oleh kerajaan seperti makan di kedai. Justeru, dia bersetuju untuk divaksin.

Astro AWANI

“Selain itu, saya juga merancang untuk mengadakan majlis perkahwinan  selepas sambutan Krismas penghujung tahun ini yang mana majlis berkenaan telah ditangguh sejak tahun lalu akibat COVID-19. Nenek beritahu bahawa dia juga mahu hadir majlis itu nanti.

“Akan tetapi, berdasarkan situasi semasa, saya melihat kemungkinan majlis itu akan ditangguh lagi. Walau bagaimanapun saya berpandangan lebih baik nenek tetap menerima vaksin terlebih dahulu. Saya gembira akhirnya nenek menerima vaksin,” katanya.

Dia ditemui ketika menemani neneknya untuk mendapatkan suntikan vaksin di hospital swasta berkenaan di sini, pada Rabu.

Bak Nai dipercayai tenang dan gembira sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin COVID-19.

Sementara itu, Wen Jie yang tinggal dan menjaga neneknya sejak beberapa tahun mengakui gembira kerana nenek kesayangan akhirnya menjadi individu terakhir dalam kalangan ahli keluargnya yang menerima vaksin.

Wen Jie memberitahu walaupun mencecah usia 105 tahun namun neneknya tidak mempunyai sebarang penyakit kronik kecuali tekanan darah tinggi dan kolesterol.

Pada masa sama, anaknya yang juga Naib Presiden Dewan Perniagaan Dan Perindustrian Cina Perak, Datuk Ng Kheng Yeow turut menzahirkan rasa gembira kerana ibunya menerima suntikan vaksin.

“Sebelum ini kami mengajaknya untuk menerima suntikan vaksin walau bagaimanapun katanya dia memerlukan sedikit masa. Selepas kami sekeluarga sudah menerima vaksin, akhirnya dia bersetuju untuk melakukan perkara sama.

“Selepas diberitahu dia akan menerima suntikan vaksin, dia bersama gembira. Kami juga berkongsi perasaan yang sama,” katanya yang merupakan anak ketiga daripada enam adik-beradik.