VIENNA: Ketua Pengarah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa Rafael Mariano Grossi, menggesa dialog dengan Iran mengenai program nuklear negara itu disambung semula, sambil menegaskan yang libat urus kekal penting di tengah-tengah ketegangan berpanjangan di Asia Barat.
“Kita memerlukan libat urus ini. Libat urus ini boleh dilaksanakan dalam pelbagai bentuk,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Lembaga Gabenor agensi itu pada Isnin.
Beliau berkata walaupun pemeriksaan mungkin tidak dapat dijalankan ketika konflik bersenjata masih aktif, “terdapat banyak perkara yang boleh dilakukan”.
“Yang penting ialah dialog ini, yang pada asasnya telah terputus dan sudah tentu keadaan itu menambah lagi kerumitan,” katanya, walaupun mengakui beliau masih sekali-sekala berhubung dengan pegawai Iran.
Grossi turut menegaskan bahawa agensi itu tidak pernah membuat kesimpulan bahawa Iran sedang membangunkan senjata nuklear.
“Kami tidak pernah mengatakan mereka berbuat demikian,” katanya sambil menjelaskan bahawa IAEA ketika ini tidak berada dalam kedudukan untuk membuat penilaian sedemikian kerana dinafikan akses ke beberapa kemudahan utama selama hampir setahun.
Terdahulu, dalam ucapan pembukaannya kepada Lembaga Gabenor, Grossi berkata pada Februari 2026, IAEA menghentikan semua aktiviti pengesahan di lapangan di Iran susulan konflik ketenteraan yang berlaku.
Beliau berkata walaupun konflik itu masih berterusan, beberapa aktiviti pengesahan di lapangan berjaya disambung semula minggu lepas apabila agensi itu menjalankan pemeriksaan rutin di Loji Tenaga Nuklear Bushehr.
“Sudah hampir setahun agensi ini tidak mempunyai akses ke mana-mana kemudahan nuklear yang diisytiharkan dan terjejas akibat serangan ketenteraan pada Jun 2025. Oleh itu, agensi kehilangan kesinambungan maklumat mengenai bahan nuklear yang sebelum ini diisytiharkan di kemudahan berkenaan,” katanya.
“Keadaan kekurangan maklumat dan akses ini juga bermakna agensi tidak dapat mengesahkan penggantungan semua aktiviti pengayaan uranium, pemprosesan semula dan aktiviti berkaitan air berat seperti yang ditetapkan menerusi resolusi berkaitan Majlis Keselamatan dan Lembaga Gabenor,” katanya.
-- BERNAMA