IPOH: Seorang wanita warga emas berusia 73 tahun diberkas dalam serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik di sebuah rumah di Taiping, Perak, pada Rabu.


Hasil pemeriksaan di rumah berkenaan, polis menjumpai satu bungkusan plastik mengandungi bahan disyaki dadah jenis Methamphetamine dengan anggaran berat satu kilogram dan 30 bungkusan plastik mengandungi bahan dadah disyaki heroin, anggaran berat 450 gram.


Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, turut dirampas peralatan membungkus dadah dengan nilai keseluruhan dadah yang dirampas ialah RM115,750.


"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek adalah negatif dan suspek juga tidak mempunyai rekod sabitan lampau. Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan oleh lebih kurang 10,300 orang penagih dadah.

"Dadah tersebut disyaki untuk diedarkan di pasaran tempatan. Suspek telah direman selama lima hari bermula daripada 21 April 2022 sehingga 25 April 2022. Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mandatori iaitu gantung sampai mati," katanya.


Beliau bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di Ipoh, pada Jumaat.


Menurutnya, dalam satu serbuan berasingan pada hari yang sama, polis menahan seorang lelaki berusia 32 tahun di Bandar Seri Botani, Ipoh dan menjumpai dadah disyaki heroin dengan anggaran berat 3.1 kilogram, bernilai kira-kira RM111,580.


Katanya ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine di samping mempunyai empat rekod kesalahan lampau berkaitan dadah.

Suspek direman enam hari sehingga 26 April dan kes juga disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.