NG MERS 999, kesinambungan sistem MERS 999 - Fahmi Fadzil

Menteri Komunikasi yang juga Ahli Parlimen Lembah Pantai Datuk Fahmi Fadzil ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber Untuk Komuniti India Lembah Pantai Anjuran IPPTAR. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Sistem Next Generation Malaysian Emergency Response Services 999 (NG MERS999) merupakan kesinambungan kepada sistem MERS999 yang telah beroperasi sejak 2007 dan bukan merupakan projek baharu, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.
Ringkasan AI
- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan NG MERS999 bukan projek baharu, tetapi penaiktarafan sistem MERS999 yang digunakan sejak 2007.
- Sistem dinaik taraf dengan peralatan dan perisian baharu, kini meliputi lebih 800 lokasi, manakala aplikasi SaveMe999 hanya melalui penambahbaikan dan bukan bernilai RM1.25 bilion.
- Fahmi berkata kerajaan turut menumpukan usaha meningkatkan keselamatan digital, termasuk melalui seminar kesedaran penipuan siber bagi membendung jenayah dalam talian.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan majlis penutupan Seminar Kesedaran Penipuan Siber Komuniti India Lembah Pantai di sini, hari ini.
Fahmi berkata capaian sistem baharu tersebut, kini meliputi lebih 800 lokasi berbanding kira-kira 400 lokasi sebelum ini.
Mengulas mengenai aplikasi SaveMe999, Fahmi berkata ia bukan pembangunan baharu atau bernilai RM1.25 bilion seperti yang didakwa, sebaliknya aplikasi itu telah wujud sejak 2013 dan hanya melalui penambahbaikan termasuk integrasi aplikasi untuk golongan orang kurang upaya.
"Kos pembangunan aplikasi sangat minima. Kebanyakan kos adalah bagi pengurusan data yang berjumlah sekitar RM830,000 setahun," katanya.
Fahmi berkata pihak kerajaan juga telah meminta TM untuk mengintegrasikan penggunaan MyDigital ID, serta meningkatkan pengalaman pengguna (UX) bagi versi aplikasi seterusnya.
Sementara itu beliau berkata Seminar Kesedaran Penipuan Siber anjuran Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), sejajar dengan hasrat kerajaan dalam meningkatkan pengetahuan dan kemahiran praktikal bagi mengenal pasti, mengelak dan melaporkan pelbagai bentuk penipuan siber dalam kalangan masyarakat.
Seminar tersebut yang disertai lebih 100 peserta, diadakan sebagai tindak balas terhadap peningkatan kes jenayah penipuan siber yang semakin membimbangkan dan memberi kesan negatif terhadap rakyat serta ekonomi negara.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


