PUTRAJAYA:Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) melihat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penting yang mampu menyampaikan maklumat tepat dan sahih kepada masyarakat serta menyokong usaha membendung penyebaran berita palsu, kata Ketua Setiausaha KKMM Datuk Seri Mohammad Mentek.

Beliau berkata KKMM boleh menggunakan platform NGO yang meluas untuk menyampaikan maklumat yang tepat, sahih dan boleh dipercayai kepada masyarakat berbilang kaum, serta memberi kesedaran tentang keburukan berita palsu yang boleh menjejaskan kestabilan negara, keamanan dan ketenteraman awam.

"Perlu ada komunikasi strategik...kita (KKMM) boleh guna platform NGO untuk menyampaikan maklumat yang diterima dan disebarkan melalui NGO supaya maklumat itu adalah tepat dan boleh dipercayai.

"Dengan sokongan NGO, boleh membantu KKMM menyebarkan maklumat tepat dan sahih serta disebarkan secara meluas sehingga ke peringkat akar umbi," katanya kepada media selepas menerima kunjungan Pengerusi NGO Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican di KKMM di sini pada Jumaat.

Mengalu-alukan peranan NGO membantu kerajaan menyebarkan maklumat sahih, Mohammad berkata NGO boleh merujuk kepada KKMM jika maklumat yang diterima diragui kesahihannya, selain platform Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang menyalurkan maklumat tepat dan sahih.

Sementara itu, Mustapha berkata NGO Antarabangsa banyak dirujuk pihak luar negara termasuk pelabur mengenai Malaysia.

"NGO Antarabangsa menjadi rujukan oleh pihak luar untuk datang ke negara dan kita perlu ada kesepakatan mencari jalan penyelesaian supaya isu penyebaran maklumat palsu dapat diatasi pada masa akan datang," katanya.

Mustapha baru-baru ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Utama Semarak Cinta Rasul SAW 1442H/2020M sempena Maulidur Rasul 2020 atas sumbangan beliau dalam kegiatan NGO.

Antara kejayaan beliau ialah terlibat dalam rundingan diplomatik dan hubungan persahabatan untuk pembebasan 47 tahanan rakyat Malaysia dari Penjara Kemboja pada Februari 2019.

-- BERNAMA