Skip to main content

Malaysia

NGO perlu daftar MAIK untuk kutip zakat di Kelantan

MAIK_Credit MAIK
Individu atau organisasi yang tidak berdaftar sebagai amil MAIK tidak dibenarkan mengutip zakat dan semua kutipan perlu diserahkan kepada MAIK mengikut mekanisme ditetapkan.

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menetapkan hanya badan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dibenarkan mengutip zakat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri Mohd Asri Daud berkata ketetapan itu bagi memastikan hanya pihak yang layak serta mendapat kelulusan MAIK menjalankan kutipan berkenaan.

Advertisement

Beliau berkata individu atau organisasi yang tidak berdaftar sebagai amil MAIK tidak dibenarkan mengutip zakat dan semua kutipan perlu diserahkan kepada MAIK mengikut mekanisme ditetapkan.

“Sebahagian kutipan akan diperuntukkan kepada amil, manakala baki akan diaudit sebelum diagihkan kepada golongan asnaf yang layak,” katanya kepada pemberita selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Beliau berkata kutipan sumbangan orang awam oleh NGO tidak tertakluk di bawah bidang kuasa MAIK, namun beliau menasihatkan semua pihak supaya memastikan agihan dilakukan secara telus dan beramanah.

Sebelum ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor menahan tiga individu termasuk timbalan pengerusi sebuah NGO kerana disyaki terbabit dalam penyelewengan dana zakat berjumlah kira-kira RM230 juta.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video