KUALA LUMPUR:Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad mempersoalkan apakah tindakan atau persiapan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam berdepan sektor ini ketika negara sekali lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Proklamasi Darurat.

Soal beliau, apakah persiapan yang diketengahkan KPM dalam memberi sumber dan sokongan untuk guru dan pelajar bagi menghadapi keadaan sukar itu.

Nik Nazmi yang juga jurucakap PKR bagi pendidikan memberitahu, selain situasi itu, terdapat laporan pelajar sekolah menengah bukan peperiksaan hilang minat dan fokus untuk belajar secara dalam talian.

"Apa yang KPM lakukan untuk membantu pelajar dan guru untuk masalah ini? Kita perlu melakukan sesuatu untuk mengurangkan risiko keciciran yang tinggi ketika sekolah dibuka semula.

 
Sumber Facebook niknazminikahmad

"Apa sistem sokongan yang disediakan untuk guru, pelajar dan ibu bapa untuk menghadapi PKP 2.0 dan darurat? Di manakah talian bantuan, pangkalan data untuk pelajaran dan penilaian? Di manakah platform untuk berkomunikasi dengan ibu bapa?

"Ini seharusnya dilakukan dalam beberapa minggu pertama pandemik pada tahun 2020," katanya menerusi satu hantaran di akaun Facebooknya pada Sabtu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan kerajaan akan melaksanakan PKP untuk tempoh 14 hari bermula pukul 12.01 malam 13 Januari lalu hingga 26 Januari ini.

Susulan dengan penguatkuasaan itu, Menteri Kanan Pendidikan, Dr Radzi Md Jidin berkata, hanya pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), Diploma Vokasional Malaysia (DVM) dan peperiksaan antarabangsa setara di negeri-negeri PKP dibenarkan hadir ke sekolah bagi sesi persekolahan tahun ini bermula 20 Januari ini.

Dalam pada itu, Nik Nazmi berkata, beban kerja guru juga dilihat bertambah berikutan keadaan yang dihadapi ketika ini.

Ini kerana, jelas beliau, guru harus mengurus dan mengajar kelas peperiksaan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

"Seperti yang saya nyatakan sebelum ini, kita sekarang mempunyai dua kumpulan pelajar peperiksaan yang perlu dijaga iaitu kelas SPM tahun 2020 (mereka belum mengambil SPM) dan pelajar tahun 2021.

"Selain daripada tugasan ini, mereka tetap perlu mengajar pelajar dalam talian bagi pelajar yang sedang berada di rumah," katanya.

Sementara itu, beliau turut mempersoalkan adakah kerajaan memanfaatkan sepenuhnya pusat tuisyen, tuisyen atas talian, tutor individu, dan pertubuhan  bukan kerajaan (NGO) dalam memberi ruang pembelajaran maya bagi kanak-kanak kumpulan berpendapatan rendah (B40) yang mungkin tidak dapat belajar di rumah secara maya.

"Hanya Kementerian Pendidikan yang dapat menjawab soalan-soalan ini," katanya.