KUALA LUMPUR: Orang ramai boleh menilai sendiri sama ada Malaysia berada di landasan yang betul atau tidak berdasarkan fakta terkini kejayaan usaha kerajaan dalam memerangi COVID-19.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menyeru agar rakyat yakin kepada beliau dan kementeriannya yang terus berusaha demi kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

"Sejak kebelakangan ini, terdapat ramai pihak yang memberikan komen mengenai usaha-usaha kerajaan dalam membendung impak krisis COVID-19 terhadap negara.

"Saya percaya mereka ini semua inginkan yang terbaik buat Malaysia, namun ada di antara mereka yang mengetepikan fakta apabila mengulas mengenai usaha kerajaan dan memberikan gambaran yang salah," katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Isnin.

 
Sumber Facebook tzafrulaziz

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul yang juga Menteri Penyelaras Pelan Pemulihan Negara (PPN) menggariskan beberapa pencapaian negara dalam usaha memerangi wabak COVID-19.

"Malaysia adalah dalam senarai 10 negara tertinggi di dunia kadar vaksinasi hariannya.

"Sehingga 14 juta dos vaksin bakal diterima bulan ini, membolehkan peningkatan kadar vaksinasi kepada 400,000 dos sehari dan Insya-Allah, 80 peratus penduduk Malaysia akan divaksinasi menjelang hujung tahun ini.

"Strategi pemulihan adalah berdasarkan fakta dan data serta kerajaan berterusan menyalurkan bantuan kepada rakyat seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan Bantuan Khas COVID-19 untuk rakyat, Geran Khas Prihatin (GKP) untuk PKS mikro dan dana pinjaman mudah buat PKS, serta inisiatif-inisatif pemulihan ekonomi lain demi kesejahteraan kita semua," jelas beliau.