Dua murid Orang Asli Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Norieen Yaakob, 11, dan Miksudiar Aluj, 12, yang hilang hampir 50 hari dalam hutan, masih belum memulakan persekolahan mereka pada Ahad.

Ibu Norieen, Midah Angah, 41, berkata beliau belum lagi menguruskan perpindahan sekolah anaknya itu ke SK Kuala Betis kerana mahu membincangkan beberapa perkara dengan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kelantan.

"Saya harap Pengarah JPN Kelantan (Datuk Ab Aziz Abdullah) dapat datang ke Pos Tohoi kerana bukan saya sahaja, tapi penduduk di sekitar Pos Tohoi ini mahu berbincang dengan beliau mengenai beberapa perkara.

"Antaranya melibatkan tahap keselamatan di sekolah terutama asrama, pengawal keselamatan dan beberapa perkara lain," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Penad di sini, semalam.

Sebelum ini, Norieen dan Miksudiar dilapor menyuarakan hasrat mereka berpindah ke SK Kuala Betis kerana masih trauma dengan kejadian yang menimpa mereka Ogos tahun lepas.

Sementara itu, ibu kepada Miksudiar, Rozita Bahir, 42, berkata pelajaran amat penting, namun pada masa sama beliau mahu satu perbincangan diadakan dengan JPN Kelantan.

"Setakat ini, saya telah berbincang dengan penghulu Orang Asli, namun berharap dapat berbincang dengan JPN Kelantan juga terutama berhubung aspek keselamatan Miksudiar di sekolah.

"Miksudiar telah suarakan keinginan kembali ke sekolah, namun bukan di SK Tohoi, sebaliknya memilih untuk ke SK Kuala Betis," katanya.

Ogos tahun lepas tujuh murid SK Tohoi bertindak melarikan diri daripada asrama kerana takut dikenakan hukuman oleh guru selepas mandi di sungai tanpa kebenaran.

Selain Miksudiar dan Norieen, lima lagi kanak-kanak yang hilang ialah Ika Ayel, 9; Sasa Sobrie, 8; Haikal Yaakob, 8; Linda Rosli, 8, dan Juvina David, 7, dengan kesemua mereka dari Kampung Gawin dan Kampung Penad.

Lebih memilukan, selepas hampir 50 hari hilang di dalam hutan, empat daripada kanak-kanak itu - Ika, Haikal, Linda dan Juvina ditemui mati. Seorang lagi mangsa, Sasa Sobrie, belum ditemui.

Miksudiar dan Norieen ditemui masih hidup dalam keadaan kelaparan dan dehidrasi di tebing sungai di hutan itu.

BACA: Peristiwa Pos Tohoi: Keluarga masih bersedih dan hiba terkenang kehilangan anak