“Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.”

Berbekalkan kata-kata itu, suri rumah Noor Amela Amran, 30 tahun, tekad mengusahakan perniagaan membuat “Kek Bajet” di rumahnya di Taman Seri Putra, Kuala Kedah.

Jelasnya, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bulan lalu, permintaan terhadap keknya meningkat sehingga lebih 100 biji sehari, menyebabkan dia tidak menang tangan menyiapkan tempahan.

Katanya, sebelum PKP, dia hanya mampu menjual antara 30 dan 40 biji kek sehari, namun sekarang tempahan itu berganda.

Ini kerana, katanya, ramai yang tidak dapat keluar rumah dan peluang itu digunakan Noor Amela untuk menjana pendapatan dengan membuat penghantaran dari rumah ke rumah.

Menurutnya, dia menjual hampir 10 jenis kek bajet berasaskan keju dan coklat, dengan harga RM10 sebiji.

Awal Ramadan ini, Noor Amela menerima lebih banyak tempahan daripada biasa.

Katanya, dia menjual kek pada harga murah sambil tetap mengekalkan kualitinya, serta meletakkan keju serta coklat yang banyak, kerana dia tidak pernah fikir tentang membuat keuntungan besar.

"Kek saya ada banyak jenis. Kalau cheese saja, ada enam jenis, iaitu vanilla, pandan, blueberry, strawberry, Oreo dan coklat.

"Kalau yang lain, ada chocolate hantu, chocolate moist. Kemudian, ada juga yang saya campur tiga jenis, atau dua jenis. Semuanya hanya RM10 satu," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui baru-baru ini.

Antara kek bajet yang dihasilkan Noor Amela. Foto Astro AWANI

Noor Amela berkata, dia menghabiskan masa selama lima jam sehari untuk proses mengukus.

"Selepas itu saya rehat. Esoknya saya bubuh topping, ambil masa dalam tiga hingga empat jam juga, bergantung kepada kuantiti kek. Kalau banyak kek, ambil masa lebih lama," tambahnya.

Noor Amela berkata, dia tidak pernah mengikuti mana-mana kursus untuk belajar membuat kek, namun hanya belajar melalui YouTube dan Google di internet.

Katanya, dia kini menggunakan empat khidmat ejen iaitu dua di Sungai Petani, dan masing-masing satu di Jitra dan Alor Setar, untuk menghantar kek kepada pelanggannya.

"Ada juga pelanggan yang datang sendiri ke rumah untuk mengambil kek yang ditempah. Saya jual melalui Facebook dan WhatsApp.

"Saya suri rumah sepenuh masa, tetapi dalam waktu PKP ini, saya menjual kek untuk tambah pendapatan isi rumah," katanya.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, dia bercita-cita untuk mempunyai kedai kek sendiri satu hari nanti.